Siti Nur Mas Erah Amran dan Rohaniza Idris


PENURUNAN peratusan pengundi keluar membuang undi tidak menjadi penghalang kejayaan calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, hari ini.

Katanya, beliau menjangkakan sebanyak 60 peratus pengundi akan keluar mengundi, namun hanya 44 peratus menunaikan tanggungjawab di 115 pusat mengundi.

“Kerisauan utama kami adalah empat hari cuti yang bermula hari ini adalah cuti yang panjang.

“Jangkaan ini sememangnya tepat kerana cuti ini menjadi masalah utama selain faktor cuaca yang kurang menentu menyebabkan orang ramai tidak keluar mengundi.

“Saya tidak rasa timbul isu boikot atau janji 100 hari yang menjadi penyebab undian berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman kemenangannya di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, hari ini.

Halimey mengakui, faktor ‘anak tempatan’ yang seringkali dijadikan isu hangat oleh pihak lawan turut mempengaruhi kemenangannya di Seri Setia.

“Perlu diingat, pentingnya anak tempatan untuk membantu dan berkhidmat di tempat sendiri.

“Saya dilahir dan dibesarkan di sini, malah saya berjanji akan membantu menjadi pengantara antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, misi utama yang bakal dilaksanakan Halimey selepas ini adalah menaik taraf pusat khidmat supaya dapat dimanfaatkan masyarakat setempat.

“Saya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri Haniza Talha dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai pelan yang akan dibuat,” katanya.

Sementara itu, isteri Halimey Suhati Bakri, 45, berkata kemenangan suaminya berbaloi dengan penat lelahnya selama 20 tahun berkecimpung dalam politik.

Katanya, beliau dan anak-anak berbangga dengan pencapaian Halimey.

“Saya dan anak-anak sudah biasa dengan jadual kerjanya ketat, jadi kami tiada masalah dengan rutinnya yang akan sibuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 10:48 PM
HALIMEY (dua kanan) bersama Suhati selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
HALIMEY (dua kanan) bersama Suhati selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din