Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi yang tersepit dalam kemalangan di Kampung Telok, Hutan Kampung ini. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi yang tersepit dalam kemalangan di Kampung Telok, Hutan Kampung ini. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


WANITA maut manakala lima yang lain cedera selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tanah di Kampung Telok, Hutan Kampung, di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Siti Aminah Yahya, 21, dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat selepas tersepit dalam kenderaan itu bersama seorang lagi mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.55 petang tadi dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi jam 3.10 petang.

Beliau berkata, anggotanya disertai lima orang dan diketuai Pegawai Bomba Kanan II Arizal Mahmud dengan sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Alor Setar.

“Setibanya di lokasi, didapati empat mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam untuk dihantar ke hospital.

“Bagaimanapun terdapat dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang hadapan tersepit dan anggota kami kemudian mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Naufal berkata, kedua-dua mangsa diberi rawatan awal oleh anggota EMRS bagaimanapun mangsa wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan menaiki ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat pada jam 3.53 petang tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 8:52 PM