Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan stor baja. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan stor baja. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli

STOR baja milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Mani, Jalan Empangan Pedu di Padang Terap, rentung dalam kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.40 malam itu, hampir 80 peratus stor yang menyimpan 1,000 kampit baja buah dan urea musnah, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Muhammad Nurul Iman Mohd Rawi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.54 malam dan anggotanya tiba di lokasi pada jam 10.59 malam.

Beliau berkata, operasi disertai enam anggota dari BBP Kuala Nerang bersama sebuah jentera FRT dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan seorang anggota.

“Kami turut dibantu empat anggota bersama sebuah jentera dari BBP Alor Setar dan dua anggota dari jentera tangki dari Alor Setar untuk memadam kebakaran.

“Malah kita turut mendapat bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya dan PBS Simpang Empat Rangkaian yang turut menyertai operasi itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Nurul Iman berkata, api berjaya dikawal kira-kira 28 minit kemudian dan tiada mangsa dilaporkan berada dalam kawasan stor itu.

“Bagaimanapun setakat ini punca dan kerugian kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 9:44 AM