Teoh Pei Ying

UJIAN pemilihan Unit Tindakan Khas (UTK) yang dijalankan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa semalam mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Dilaporkan seramai 61 peserta kursus pemilihan UTK diserang strok haba ketika menjalani ujian simulasi sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, latihan itu diadakan bagi memilih peserta yang layak menyertai UTK.

“Latihan itu adalah normal dan latihan yang sama turut diadakan di setiap peringkat ujian.

“Dalam kes semalam, peserta diminta untuk berjemur di bawah matahari sebagai sebahagian daripada ujian, namun ada di antara mereka tidak tahan dan dikejarkan ke hospital.

“Mereka yang terbabit ini bukanlah pelatih baru seperti didakwa dalam mesej yang viral di media sosial, mereka sudah menyertai polis sejak lima hingga 10 tahun lalu,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian pondok bit polis bantuan di Esplanade, KLCC, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mohamad Fuzi berkata, ujian itu bukanlah bertujuan untuk mendera peserta terbabit tetapi satu bentuk latihan simulasi yang perlu ditempuhi oleh pelatih anggota polis elit.

“Kami menambah baik ujian berkenaan dari masa ke semasa, namun cabaran yang perlu ditempuhi bukan perkara mudah memandangkan mereka adalah polis elit,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pertukaran Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Mohamad Fuzi berkata ia adalah prosedur biasa.

“Ia bukanlah kali pertama seorang pengarah ditukarkan ke jabatan lain, jika pegawai polis menerima surat rasmi pertukaran, mereka perlu menerimanya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai dakwaan Zulkifli menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi.

Zulkifli secara rasmi akan memulakan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 8:50 PM