ZULKIFLI mencuba Sniper Rifle AX308 ketika Sambutan Ulang Tahun 69 Komando ke-48.
ZULKIFLI mencuba Sniper Rifle AX308 ketika Sambutan Ulang Tahun 69 Komando ke-48.
HM Digital

Ipoh: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menubuhkan bahagian risikan dan operasi khas bagi menangani ancaman pengganas serta jenayah rentas sempadan dengan lebih pantas dan berkesan.

Pengarah KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, bahagian itu bertanggungjawab mengumpul dan memproses maklumat supaya bahagian khas yang terdiri daripada Unit Tindakan Khas (UTK) serta pasukan 69 Komando dapat bertindak dengan lebih berkesan.

Katanya, pasukan itu juga mengambil tindakan susulan terhadap maklumat yang diperolehi sama ada di sempadan darat, laut dan udara.

“Dengan adanya bahagian ini, kita akan lihat pelbagai ancaman jenayah di rentas sempadan termasuk kegiatan pengganas, penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.

“Kita jangkakan apabila pasukan ini berfungsi sepenuhnya, rampasan atau tangkapan yang sekarang ini dibuat Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dilaksanakan dengan berlipat ganda.

“Apabila pasukan elit ini dapat dijalankan dengan sempurna, keadaan di kawasan sempadan akan lebih terkawal dan kita sedang lihat peranan lain yang boleh dilakukan pasukan ini supaya kita boleh mengoptimumkan sumber yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun 69 Komando ke-48 di Briged Utara PGA, Ulu Kinta di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Gerakan) KDNKA Bukit Aman, Datuk Azizan Abd Aziz, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am) KDNKA Bukit Aman, Datuk Abd Aziz Yusof, Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan dan Komander 69 Komando, Datuk Fisol Salleh.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, bagi memberi perhatian kepada ancaman pengganas terutama kumpulan militan Daish di negara ini, jabatan KDNKA dengan persetujuan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan menambah kekuatan pasukan elit PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:37 AM