Teksi yang hilang kawalan dalam kemalangan di Jalan Pantai menghala Pasir Gudang. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Teksi yang hilang kawalan dalam kemalangan di Jalan Pantai menghala Pasir Gudang. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU teksi yang terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Pantai menghala Pasir Gudang, Johor Bahru, 1.45 pagi hari ini, disahkan positif methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais mengesahkan penahanan pemandu teksi itu bagi membantu siasatan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu teksi berusia 38 tahun yang datang dari arah pusat bandar menghala ke Pasir Gudang hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.

"Teksi berkenaan kemudian melanggar tiga motosikal yang dipercayai berhenti di bahu jalan kerana sedang membaiki motosikal yang rosak.

"Akibat pelanggaran itu, remaja yang juga pelajar berasal dari Taman Scientex, Pasir Gudang itu cedera parah di bahagian tengkuk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi penunggang motosikal SYM berasal dari Taman Cendana, Pasir Gudang, cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," katanya.

Beliau berkata, pemandu teksi berkenaan sudah ditahan dan dibawa ke hospital untuk mengambil sampel darah dan air kencing sebelum ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kemalangan itu, Mohamad Alif Aiman Azhar, 15, dan Kamarul Fathullah Afiq Kamarul Hisham, 19, meninggal dunia manakala Muhammad Nur Hafizam Ahmad Raya, 17, dan Adam Hashim, 28, cedera.

Mohd Zulfitri Rahimin, 16, pula terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini, Adam yang dianggap sebagai abang kepada semua mangsa itu tidak dapat menahan kesedihan dan berkali-kali meminta maaf kepada keluarga mangsa.

Kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Baru, Masai.

Berita berkaitan

Dua maut dirempuh teksi 'lalok'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 8:00 PM