Mohd Rizal Abdullah


PERAGUT menerima padah selepas terjatuh dari bumbung rumah sejurus meragut beg tangan di Jalan Wan Alwi, Kuching, kelmarin.

Dalam kejadian 11.48 malam itu, suspek berusia lingkungan 30-an itu parah pada kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek yang dipercayai warga tempatan itu terjatuh dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri daripada dikejar orang awam.

Katanya, suspek sebelum itu meragut beg tangan wanita berusia 26 tahun di hadapan rumah sewa mangsa.

“Mangsa baru pulang ke rumah sewanya dan ketika mahu membuka pintu jeriji rumahnya, muka mangsa ditekup suspek dari arah belakang.

“Suspek kemudian menumbuk mangsa beberapa kali sebelum melarikan beg tangan mangsa,” katanya.

Katanya, wanita itu kemudian menjerit meminta tolong menyebabkan beberapa jirannya, termasuk orang awam mengejar suspek sejurus menyedari kejadian.

“Suspek yang ketakutan melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah berhampiran.

“Bagaimanapun, suspek terjatuh lalu tidak sedarkan diri. Suspek kemudian dikejarkan HUS untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 5:58 PM