Ahmad Suhael Adnan


KEMENTERIAN Kesihatan menafikan dakwaan doktor yang menulis surat terbuka berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), baru-baru ini dilarang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Kelantan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi dilaporkan masih bertugas di hospital itu seperti biasa.

“Itu (dakwaan tidak dibenar bertugas) tidak benar,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang pengguna Facebook menggunakan nama ‘Azman Hashim’ kononnya Dr Nur Ilyani disekat bertugas di HRPZII dan pegawai perubatan itu sudah dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya dalam tempoh 24 jam.

Baru-baru ini, Dr Nur Ilyani menulis surat terbuka kepada aktivis masyarakat, Datin Marina Mahathir berkaitan isu LGBT di akaun Facebook miliknya, sebelum tersebar di media sosial.

Susulan itu, Dr Nur Ilyani diadukan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) oleh sebuah kumpulan yang menggesa pegawai perubatan berkenaan dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Kesihatan.

Ditanya sama ada Dr Nur Ilyani akan dikenakan tindakan, Dr Dzulkefly berkata, tiada tindakan akan diambil kerana pegawai perubatan itu menulis surat terbabit atas kapasiti peribadi.

“Saya sudah menjelaskan dia membuat kenyataan atas kapasiti peribadi,” katanya.

Berita berkaitan

Jika Dr Nur Ilyani dipecat, mari kerja di Terengganu - MB

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 2:16 PM