SYED Saddiq beramah mesra dengan kakitangan Majlis Belia Malaysia (MBM) selepas sesi perjumpaan bersama dengan kepemimpinan MBM di Wisma MBM, Bandar Tun Razak, hari ini, FOTO Saifullizan Tamadi
SYED Saddiq beramah mesra dengan kakitangan Majlis Belia Malaysia (MBM) selepas sesi perjumpaan bersama dengan kepemimpinan MBM di Wisma MBM, Bandar Tun Razak, hari ini, FOTO Saifullizan Tamadi
Nur Lela Zulkipli


MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf berhubung ketelanjurannya melabel pertubuhan belia negara sebagai ‘macai politik’ di Parlimen, awal bulan ini.

Syed Saddiq berkata, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebarangan, sebaliknya perlu menujukannya kepada persatuan belia yang memberi sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Tidak adil sekiranya saya ‘pukul rata’ apabila mengelar anak muda sebagai macai politik. Ada segelintir persatuan belia yang memberi sokongan terbuka kepada kerajaan terdahulu dan perkara ini sudah pun diakui semua pihak.

“Selepas ini, sekiranya kementerian menyalurkan bantuan kepada persatuan belia, mereka tidak perlu memberi sebarang sokongan terbuka. Saya mahu mereka jujur mengkritik kerajaan tentang apa yang setuju dan tidak setuju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi perjumpaan bersama kepemimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Presiden MBM Mohd Zaidi Aziz yang turut mengakui dan meminta maaf bagi pihaknya kerana memberi sokongan terbuka kepada kerajaan terdahulu sebelum PRU14.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq tidak bersetuju sekiranya pegawai perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dikenakan tindakan kerana menyuarakan pandangannya berkenaan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau berkata, sekiranya Dr Nur Ilyani dikenakan tindakan, ini bermakna kebebasannya untuk bersuara dinafikan.

“Sekiranya ada tindakan terhadap beliau, saya sendiri secara peribadi akan menentangnya.

“Tetapi, setakat ini setahu saya belum ada tindakan dikenakan, hanya aduan. Jadi saya berharap Dr Ilyani tidak dikenakan tindakan. Dalam Malaysia baharu ini, semua pihak berhak bersuara,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi Pakatan Harapan menjelang 100 hari memerintah, Syed Saddiq menggesa kerajaan kini berterus terang sekiranya ada manifesto yang memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Rakyat berhak mengetahui mengenai kedudukan manifesto PH dan sekiranya ada janji yang masih belum ditunaikan, kerajaan perlu berterus terang.

“Tidak perlu berselindung kerana rakyat kini sedang memerhati dan menilai. Apa saja yang kerajaan sedang lakukan, saya percaya rakyat akan beri sokongan penuh,” katanya.

Berita berkaitan

'Bro Saddiq tak pro lah'

MBM, GPMS bidas Syed Saddiq

[UPDATE] Jangan macam-macam Syed Saddiq...

Persatuan belia bukan 'macai' politik

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 5:00 PM