Mohd Azam Shah Yaacob


AHLI perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menyifatkan bahawa pemfailan terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap isu pemilikan kapal Equanimity sebagai bukti bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berbohong dalam isu pemindahan kapal Equanimity dari Indonesia ke Malaysia.

Kenyataan Jho Low menerusi peguamnya dihantar melalui syarikat perhubungan awam Australia, Wells Haslem Mayhew itu dilaporkan sebuah portal berita tempatan sebaik saja Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengemukakan pemfailan terbaru sebagai maklum balas kepada Equanimity Ltd yang menuntut pemilikan kapal layar Equanimity.

Menerusi laporan itu, Jho Low turut menyatakan bahawa Peguam Negara, Tommy Thomas juga turut berbohong dalam isu pemilikan Equanimity yang kononnya dipersetujui oleh Amerika Syarikat (AS).

"Kerajaan Malaysia berulang kali menyatakan bekerjasama dengan pihak berkuasa AS dan Indonesia dalam menuntut kapal Equanimity dan memaklumkan kedua-dua negara mengakui Malaysia sebagai pemilik sah kapal layar mewah itu.

"Jadi, pemfailan terbaru DoJ itu bukti bahawa Dr Mahathir berbohong," katanya.

Sebelum ini, DoJ mendakwa bahawa kapal Equanimity dibeli oleh Jho Low menggunakan wang yang diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, Jho Low menafikan dakwaan terbabit penyelewengan itu biarpun dia dikehendaki oleh pihak berkuasa dari Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat serta beberapa negara lain yang turut menyiasat mengenai 1MDB.

Berita berkaitan:

DoJ nafi terbabit pemindahan hak Equanimity

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 6:32 PM