KAPAL Equanimity dirakam pada 4 April 2018. FOTO AFP
KAPAL Equanimity dirakam pada 4 April 2018. FOTO AFP
Rizanizam Abdul Hamid


PIHAK berkuasa Indonesia sekali lagi menyerbu dan menyita kapal persiaran mewah Equanimity selepas hampir dua bulan sitaan kali pertama disahkan terbatal atas faktor teknikal.

Portal Malaysiakini melaporkan, langkah itu didedahkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam dokumen yang difailkan ke mahkamah semalam.

Menurut dokumen itu, Pejabat Hal Ehwal Luar DOJ sudah mengemukakan permohonan untuk Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia pada 19 April sebelum pihak berkuasa Indonesia kembali menaiki Equanimity dan menyita kapal persiaran berkenaan pada 9 Julai lalu.

“Pada 9 Jul 2018 pihak berkuasa Indonesia melaksanakan proses itu dengan menaiki Equanimity bersama satu salinan waran tangkap.

“Semasa di dalam kapal itu, pihak berkuasa menyerahkan satu salinan waran tangkap ke atas kapal layar, serta satu lagi salinan waran tangkap untuk kapten Equanimity,” kata dokumen DOJ itu kepada Mahkamah Daerah California.

Langkah berkenaan dibuat sebagai makluman kepada mahkamah bahawa waran tangkap yang mereka keluarkan pada 16 Jun tahun lalu sudah dilaksanakan.

Turut disertakan pada dokumen terbabit adalah gambar waran berkenaan diserahkan oleh polis Indonesia di atas kapal Equanimity.

Berdasarkan laporan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang turut dikemukakan kepada mahkamah, mereka dimaklumkan oleh polis Indonesia seorang peguam ada bersama kapten kapal tersebut ketika waran itu diserah

“Polis Indonesia percaya bahawa peguam itu mewakili pemilik kapal persiaran berkenaan,” kata laporan itu.

Sebelum ini, DOJ mengemukakan saman pelucutan hak secara sivil ke atas kapal bernilai AS$250 juta itu pada 15 Jun tahun lalu.

Ia adalah antara 30 saman seumpamanya yang dilakukan pihak terbabit untuk merampas pelbagai aset yang didakwa AS diperoleh melalui penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Equanimity didakwa dimiliki ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang sebelum ini mendakwa tuduhan dikaitkan kepadanya bermotifkan politik.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini merampas Equanimity atas permintaan DOJ pada 28 Februari lalu.

Bagaimanapun Mahkamah Daerah Jakarta memutuskan rampasan itu tidak sah kerana MLA dikemukakan DOJ diserahkan terus kepada polis, sedangkan ia sepatutnya melalui Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 12:42 PM