ANWAR (kanan) beramah mesra dengan masyarakat Cina pada majlis makan malam khas bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Klang, malam ini. FOTO Osman Adnan
ANWAR (kanan) beramah mesra dengan masyarakat Cina pada majlis makan malam khas bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Klang, malam ini. FOTO Osman Adnan
Wartawan NSTP


KETUA Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

Beliau membayangkan demikian pada jamuan makan malam khas bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri kempen PRK Sungai Kandis di Klang, malam ini.

“Orang kata PRK memang meletihkan tetapi bukan kita yang tentukan.

“Ada orang bertanya mengapa mahu berkempen lagi (sebabnya), kita mahu kerja untuk rakyat. Kerja (perlu) jalan.

“Satu dua bulan lagi, mana tahu, saya pula bertanding di (kerusi) Parlimen nanti,” katanya.

Ini kali kedua Anwar dalam kempen di Sungai Kandis memberi bayangan demikian.

Anwar berkata, pengundi Sungai Kandis perlu memilih PKR pada Sabtu ini bagi membolehkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kerja baik untuk rakyat.

“Yang penting, kita sudah tengok kuasa rakyat boleh menentukan sejarah baharu negara kita (pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sekarang masyarakat kita semua kaum sudah bersatu hati untuk membawa perubahan,” katanya.

Beliau juga meminta rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Anwar pada ceramah di Kampung Jalan Kebun kelmarin, secara berseloroh membayangkan akan bertanding di kerusi Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 10:54 PM