AMIRUDIN (duduk tengah) bergambar bersama tetamu di Majlis Program Jalinan Budi Rakan Strategik AADK dan PEMADAM Selangor di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.
AMIRUDIN (duduk tengah) bergambar bersama tetamu di Majlis Program Jalinan Budi Rakan Strategik AADK dan PEMADAM Selangor di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.
Ruwaida Md Zain


MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan Pakatan Harapan (PH) Selangor menghantar nama seorang calon saja dari PKR yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Amirudin berkata, ia bagi memastikan ada pertarungan pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

“PH hantar satu nama sahaja, jadi kita pun hendak pastikan ada pertarungan.

“Sebab itu di pihak saya dan Keadilan serta PH, kita hendak memastikan jentera kita kemas dan tersusun sebelum 21 Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Budi Bersama Rakan Strategik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor dan PEMADAM Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan UMNO dan PAS bekerjasama dengan meletakkan hanya satu calon pada PRK Sungai Kandis menentang calon dari PH.

Amirudin berkata, beliau yakin pengaruh nama besar dalam PH membantu mereka mengekalkan kerusi yang dimenangi sejak 2008 itu.

“Sudah pasti dengan adanya Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta YB Mat Sabu (Mohamad Sabu) selaku Ahli Parlimen Kota Raja, membantu untuk mengekalkan kerusi terbabit.

“Sudah pasti dengan rangkuman resepi ini kita yakin boleh mengekalkan tradisi kemenangan sejak 2008,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau yakin dengan pelaksanaan lebih lima manifesto PH, rakyat akan terus kekal menyokong PH.

“Saya percaya rakyat menyokong PH dengan buktinya tabung PH (Tabung Harapan Malaysia) berjaya mengumpul lebih RM130 juta setakat ini, saya yakin dengan sokongan itu.

“Tetapi kita tidak boleh berdiam diri... kita akan sedaya upaya mengikut cara kita untuk meneruskan kemenangan sebelum ini,” katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia pada 2 Julai lalu selepas menghidap kanser linfoma.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh hari penamaan calon pada 21 Julai ini manakala 4 Ogos adalah hari mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 8:31 PM