APM melepaskan ular. FOTO Zuliaty Zulkiffli
APM melepaskan ular. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


PELBAGAI spesies ular termasuk tedung selar dan sawa yang pernah ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu sepanjang bulan ini dilepaskan kembali ke habitatnya di Hutan Tohmoi, dekat Sintok, hari ini.

Kesemua 12 ular yang sebelum ini disimpan sementara di pejabat APM Kubang Pasu, dilepaskan pada jarak kira-kira 50 meter ke dalam hutan yang jauh dari tumpuan orang ramai.

Penolong Pegawai Hidupan Liar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah, Mohd Firdaus Yahaya berkata, terdahulu pihaknya turut memeriksa ular berkenaan, selain memasukkan cip ke dalam ular sawa batik yang mempunyai nilai komersial tinggi.

“Selepas cip dimasukkan ke dalam badan ular, kita akan merekodkannya menggunakan alat pengimbas kerana setiap cip mengandungi nombor siri bagi memudahkan kita mengesan reptilia berkenaan sekiranya ia datang semula.

“Setakat ini kita menerima banyak aduan berkaitan ular daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan APM Kedah kerana negeri ini mempunyai banyak kawasan pertanian dan sawah padi yang menjadi tempat reptilia itu berlindung,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, orang ramai boleh membela ular sebagai haiwan peliharaan tetapi dengan syarat perlu mempunyai lesen dan bukan spesies yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

“Bagi tujuan pameran pula, pemilik perlu mematuhi syarat tidak melepaskan ular berkenaan di kawasan orang ramai kerana perlu memikirkan faktor keselamatan.

“Selain ular, pihak kami juga menerima banyak aduan berkaitan kera dan babi hutan berhampiran kawasan rumah penduduk di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, sejak Januari hingga bulan ini, pihaknya menerima 500 kes tangkapan ular.

“Tangkapan paling banyak berlaku antara bulan Januari hingga Mac kerana cuaca panas menyebabkan reptilia itu keluar mencari tempat perlindungan.

“Kita meminta orang ramai supaya menjaga kebersihan rumah bagi mengelakkan kehadiran tikus kerana ular biasanya akan datang ke rumah yang banyak tikus untuk mendapatkan sumber makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 4:16 PM