Zuliaty Zulkiffli


“KAMI mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa ini kerana saiznya berat dan hampir mencecah 200 kilogram,” kata Zihila Md Saad, 41, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu.

Kehadiran ular sawa itu disedari penduduk kampung di kawasan kebun getah itu sekitar 2.30 petang sebelum menghubungi anggota APM untuk menangkapnya.

Zihila dan dua rakan setugas, Syed Aswad Syed Sheh, 30, dan Mohd Zamberi Abdullah, 32, menangkap ular sawa batik sepanjang lebih 6 meter itu di dalam kebun getah di Kampung Tok Arang, Batu 5 Kodiang, dalam kejadian, di sini hari ini.

Ular sawa itu dipercayai baru menelan anak lembu yang berkeliaran di kawasan itu berikutan penemuan sekawan lembu di situ.

Zihila berkata, mereka turut dibantu penduduk kampung untuk mengangkat ular sawa itu dan mengusung menggunakan kain untuk diangkat ke dalam lori tiga tan.

“Saya memegang kepala ular itu untuk mengumpannya, manakala dua anggota lagi memegang perut dan ekor untuk mengelakkan ia bertindak agresif.

“Ular itu dalam keadaan letih selepas menelan anak lembu itu, namun kami menangkapnya dengan berhati-hati kerana bimbang berlaku sebarang kejadian di luar jangkaan,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Kubang Pasu, Jitra, hari ini.

Zihila berkata, mereka juga berhati-hati kerana kawasan kebun getah itu terletak di kawasan hutan yang agak terpencil malah bimbang ada lagi ular sawa di kawasan itu.

ANGGOTA APM Kubang Pasu memegang ular sawa batik sepanjang lebih 16 meter dan beratnya hampir 200 kg. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM Kubang Pasu memegang ular sawa batik sepanjang lebih 16 meter dan beratnya hampir 200 kg. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, sepanjang bertugas dalam APM sejak empat tahun laluan, ini ular sawa terbesar dan panjang yang pernah ditangkapnya.

“Ular sawa sebesar ini jarang ditemui dan mungkin kawasan itu menjadi habitatnya untuk berlindung, selain mencari sumber makanan,” katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan 2.42 petang dan tiga anggotanya bergegas ke lokasi untuk membantu menangkap ular berkenaan.

Beliau berkata, anggotanya menggunakan lori tiga tan untuk memasuki kawasan kebun getah yang jauh dari rumah penduduk kampung.

“Anggota kami berjaya menangkap ular sawa batik berkenaan dan membawanya ke pejabat APM Kubang Pasu di sini untuk tindakan lanjut.

“Kita akan menghubungi pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) untuk menyerahkan ular ini kepada pihak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 8:46 PM