AHMAD Mustaqim mempunyai kemahiran menangkap ular termasuk tedung selar sejak 2011. FOTO Ihsan Ahmad Mustaqim
AHMAD Mustaqim mempunyai kemahiran menangkap ular termasuk tedung selar sejak 2011. FOTO Ihsan Ahmad Mustaqim
Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: “Niat saya hanya ingin membantu orang ramai dan bukannya untuk menunjuk kebolehan menangkap ular tetapi cukup sekadar membantu dengan ikhlas walaupun ia membahayakan nyawa saya sendiri demi mengumpul saham akhirat,” kata Ahmad Mustaqim Hamzah, 26.

Ahmad Mustaqim adalah penangkap ular secara sukarela di daerah ini yang juga bekas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap mengakui kebolehannya menangkap reptilia itu diperolehi dengan sendiri malah minatnya itu bermula sejak berusia 10 tahun lagi.

Katanya, dia mula membela ular tidak berbisa seperti ular daun sebagai hobi sebelum mengambil peluang untuk menangkap reptilia itu bermula pada tahun 2011 dan kini sudah hampir ratusan ekor dari pelbagai spesies sudah ditangkapnya.

“Selepas berhenti dari APM, saya sekarang bergerak solo dan bersedia 24 jam sekiranya menerima panggilan berkaitan ular |
di daerah ini malah semua yang saya lakukan ini, tanpa mengharapkan sebarang bayaran kerana saya memang “pantang” dengar pasal ular, mesti saya akan pergi membantu.

“Kadangkala saya tangkap ular pakai alat kelengkapan dan adakalanya saya pakai tangan ja bergantung pada jenis ular yang hendak ditangkap tetapi walaupun ia sebagai hobi namun saya sentiasa beringat keselamatan nyawa kerana sentiasa terdedah dengan bahaya,” katanya di sini.

Ahmad Mustaqim yang mendapat gelaran Along King berkata, setakat ini dia hanya menangkap ular di sekitar kawasan Padang Terap sahaja dan sekiranya dia berada di luar daerah ini, dia bersedia membantu sekiranya dipanggil.

Katanya, walaupun pernah lima kali dipatuk ular tedung senduk dan dua kali disembur bisa oleh ular tedung di mata dan dalam mulut ketika menangkap reptilia itu namun semua pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada orang ramai.

“Ular hanya akan menyerang sekiranya rasa terancam, oleh yang demikian, kita perlu berlembut dengannya selain mengumpan reptilia itu bagi mengelakkan ia mematuk.

“Kalau kena patuk dengan ular sama ada berbisa atau tidak, jangan panik sebaliknya terus mendapatkan rawatan ke hospital terdekat dan mengetahui spesis ular yang mematuk,” katanya.

Ahmad Mustaqim yang bertugas sebagai polis bantuan di daerah ini berkata, daerah Padang Terap antara kawasan yang paling banyak ular jenis sawa, rusuk kerbau, tedung dan tedung selar disebabkan banyak kawasan hutan di sini malah mereka akan keluar sekiranya berlaku perubahan cuaca untuk mendapatkan sumber makanan dan perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 9:40 AM