ANGGOTA APM Besut menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap Khamis lepas di Kampung Tok Dor di pekarangan pejabat APM Besut. FOTO BERNAMA
ANGGOTA APM Besut menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap Khamis lepas di Kampung Tok Dor di pekarangan pejabat APM Besut. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jertih: Ular tedung selar sepanjang tiga meter antara 95 ekor ular pelbagai spesies yang bakal diserahkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam masa terdekat.

Pegawai APM Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, ular tedung selar terbabit ditangkap oleh anggotanya di sebuah rumah di Kampung Tok Dor di sini, pada 9 November lalu.

"Reptilia berbisa itu antara ular tedung selar terbesar yang pernah ditangkap oleh APM Besut setakat semalam, sepanjang tahun ini dan kesemuanya terdiri daripada sembilan spesies ular termasuk jenis berbisa akan diserahkan kepada Perhilitan," katanya ketika ditemui Bernama di pejabat APM Besut dekat Bandar Jertih, hari ini.

Ramlan berkata, daripada jumlah terbabit, ular sawa merupakan yang paling banyak ditangkap iaitu 42 ekor diikuti ular tedung senduk (30 ekor), sawa tikus (6 ekor), ular tedung selar dan ular sampah masing-masing lima ekor.

Diikuti empat ekor ular tedung senduk sembur serta ular katan tebu, ganding wat dan ular lidi masing-masing seekor.

"Buat masa ini, ular terbabit diletakkan di dalam sebuah kurungan khas dan diasingkan antara ular spesies berbisa atau pemangsa seperti tedung senduk, tedung selar dan sawa sementara menanti untuk diserahkan kepada Perhilitan," katanya.

Beliau berkata, daripada kesemua tangkapan itu, tiada kes yang dilaporkan membabitkan kecederaan atau mematuk menusia kecuali seekor ular sawa yang ditangkap di Kampung Kuala Kubang, Jabi pada 11 November lalu kerana cuba membaham seekor kambing.

"Kebanyakan kes ular terbabit ditangkap di dalam rumah, manakala beberapa kes yang lain membabitkan tangkapan di luar rumah, dalam premis perniagaan dan kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 3:03 PM