ULAR yang ditangkap di Kampung Bukit, Kubang Pasu.  FOTO Zuliaty Zulkiffli
ULAR yang ditangkap di Kampung Bukit, Kubang Pasu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu menghadapi detik cemas apabila cuba mengeluarkan ular sawa seberat 20 kilogram (kg) di Kampung Bukit, Kubang Pasu.

Pada kejadian itu, anggota APM terpaksa menyiram air ke arah ular sawa sepanjang lima meter itu kerana terperangkap dalam jaring yang tersangkut dalam lumpur di dalam reban itu, sebelum dapat mengeluarkan reptilia berkenaan.

Anggota APM Kubang Pasu, Shukri Salleh berkata, selepas menyiram air, dia terpaksa memotong jaring berkenaan perlahan-lahan untuk mengeluarkan ular sawa yang terperangkap.

“Kami bimbang juga kalau tersilap langkah akan membahayakan nyawa disebabkan reptilia itu seakan lapar,” katanya.

Shukri berkata, dia dan empat rakannya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan ular sawa berkenaan yang dalam keadaan lapar dan bertindak agresif.

Katanya, sebaik berjaya memotong jaring berkenaan, dia terus menangkap bahagian kepala ular berkenaan, manakala anggota lain cuba meregangkan badan reptilia itu bagi mengelakkan ia membelit.

“Ia cuba melawan kami tetapi dengan kemahiran yang ada, anggota kami berjaya menangkap ular berkenaan tanpa mencederakannya.

Terdahulu, penduduk kampung menemui ular itu sebelum menghubungi APM, pada jam 6.30 pagi.

Menurut penduduk terbabit, Mohd Zulkifli Shahrulnizam, 21, ular itu sudah menelan dua ekor ayam dalam reban berkenaan.

Difahamkan, selepas ditangkap, ular itu dibawa ke pejabat APM) Kubang Pasu sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 7:57 PM