Keadaan bas ekspres selepas merempuh belakang sebuah lori.
Keadaan bas ekspres selepas merempuh belakang sebuah lori.
Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Seramai 12 penumpang dan pemandu sebuah bas persiaran cedera ringan selepas kenderaan itu merempuh belakang treler di Kilometer 285.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, bas dari Kuala Lumpur yang dalam perjalanan ke Seremban itu dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh treler berkenaan yang sedang bergerak di lorong sama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, bas itu membawa 22 orang termasuk pemandu dengan 10 penumpang lain tidak mengalami kecederaan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas berusia 48 tahun itu gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh treler di hadapannya.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut manakala penumpang yang tidak cedera dihantar ke Seremban untuk menaiki bas ganti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 11:04 AM