KEADAAN bas yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN bas yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop

 

Gopeng: Pemandu bas dan tujuh penumpang cedera selepas bas persiaran membawa 27 penumpang itu merempuh belakang treler di Kilometer 310.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, pemandu bas berusia 40-an parah di kaki kiri selepas tersepit di tempat duduk pemandu manakala tujuh penumpang cedera di beberapa bahagian seperti kepala, muka dan tangan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Nor Zamri A. Wahab berkata, bomba menerima panggilan pada 1.42 pagi dan sebaik tiba mendapati pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu manakala penumpang sudah keluar dari bas beekenaan.

Katanya, bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja mengeluarkan pemandu bas itu menggunakan peralatan menyelamat sebelum mangsa dan tujuh penumpang dibawa ke Hospital Tapah.

"Penumpang bas memberitahu bas berkenaan bertolak dari Pulau Pinang untuk ke Genting Highlands sebelum dipercayai merempuh belakang treler berkenaan di lokasi kejadian.

"Operasi ditamatkan pada 2.44 pagi selepas pemandu bas dikeluarkan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 8:15 AM