KEADAAN bas yang merempuh belakang treler. FOTO Arifin Salleh
KEADAAN bas yang merempuh belakang treler. FOTO Arifin Salleh
Oleh Arifin Salleh

Batu Pahat: Sembilan penumpang manakala pemandu cedera apabila bas ekspres merempuh belakang treler di Kilometer 105.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Yong Peng di sini, 1.45 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu bas berusia awal 30-an membawa sembilan penumpang berusia lima hingga 50 tahun dari Singapura ke Pulau Pinang.

Difahamkan, bas membawa enam warga tempatan serta tiga pelancong warga Korea itu hilang kawalan selepas melalui jalan berbukit sebelum merempuh belakang treler.

Akibat rempuhan itu, pemandu bas ekspres tidak sedarkan diri dan dalam masa sama kenderaan itu dikatakan masih bergerak menyebabkan penumpang cemas sebelum ia berhenti kira-kira 100 meter kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai insiden membabitkan bas ekspress dan treler serta tiada kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 2:34 PM