PEMANDU bas ekspres, Zulkarnain Jalil, maut  selepas bas ekspres dipandunya merempuh belakang treler. FOTO ihsan IPD Alor Gajah
PEMANDU bas ekspres, Zulkarnain Jalil, maut selepas bas ekspres dipandunya merempuh belakang treler. FOTO ihsan IPD Alor Gajah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Pemandu maut manakala tujuh penumpang cedera termasuk seorang parah apabila sebuah bas ekspres merempuh belakang treler di Kilometer 220.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, lelaki berusia 41 tahun itu dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan maut di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, bas ekspres membawa 30 penumpang itu dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur.

Menurutnya, treler muatan pasir kaca dipandu lelaki berusia 44 tahun itu pula dari Kota Tinggi, Johor menghala ke Senawang, Negeri Sembilan dan kedua-dua kenderaan dari arah sama.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres yang tiba di lokasi kejadian melanggar belakang treler yang sedang dipandu di lorong pertama.

"Akibat rempuhan itu, pemandu bas ekspres, Zulkarnain Jalil, 41, cedera di kepala dan badan akibat tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan.

"Dua daripada tujuh mangsa yang cedera dirawat Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban manakala lima di Hospital Rembau (HR), manakala penumpang yang terselamat meneruskan perjalanan ke TBS menaiki bas ganti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kedua-dua kenderaan dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer bagi pemeriksaan.

"Kita meminta orang ramai yang melihat kejadian untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Hanizah Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.44 pagi dan sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sejurus tiba di lokasi pada jam 3.01 pagi, Pasukan Keluaran Operasi mendapati sebuah bas ekspres melanggar belakang treler dan terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu.

"Pasukan bomba membantu menggeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 12:33 PM