Mohd Rizal Abdullah


MENDIANG Catherine Janet Tiwi, 25, adalah guru proaktif, berdedikasi dan ceria sepanjang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Baya Mallang sejak Mei tahun lalu.

Rakan setugasnya Adib Mat, 38, berkata kehilangan Catherine bukan sahaja dirasai warga sekolah, tetapi juga seluruh komuniti sekitar kawasan sekolah itu.

Menurutnya, ini disebabkan sekolah berkenaan hanya mempunyai lapan guru iaitu enam lelaki dan dua wanita termasuk mendiang.

“Sebagai rakan setugas, kami memang rasa cukup terkesan dengan kehilangan Catherine.

“Tambahan pula, mendiang seorang yang sangat ceria dan tidak pernah lokek dengan senyuman,” katanya ketika ditemui NSTP di Hospital Miri, hari ini.

Menurutnya, Catherine mengajar subjek bahasa Inggeris dan beliau amat disayangi semua anak muridnya walaupun baru setahun bertugas.

Katanya, dia bersama Catherine dan guru lain ke Mulu pada Selasa lalu bagi mengikuti kursus sehingga Sabtu ini.

“Bagaimanapun, belum sampai sehari, kami dikejutkan dengan tragedi itu,” katanya.

Sementara tu, tinjauan NSTP mendapati puluhan ahli keluarga dan rakan-rakan mendiang memenuhi bilik mayat Hospital Miri seawal jam 9 pagi hari ini.

Mayat mendiang dijangka diterbangkan ke kampung halamannya di Kampung Skio, Bau pada jam 4.30 petang ini.

Berita berkaitan:

Syuhadah kini bertarung nyawa

Panggilan 'merentap' jiwa...

Guru rentung, dua rakan melecur

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 3:27 PM
IBU mendiang Catherine, Wency Seimon, 48, tidak dapat menahan sebak ketika menunggu urusan jenazah anaknya di Hospital Miri, hari ini. FOTO Mohd Rizal Abdullah
IBU mendiang Catherine, Wency Seimon, 48, tidak dapat menahan sebak ketika menunggu urusan jenazah anaknya di Hospital Miri, hari ini. FOTO Mohd Rizal Abdullah