KEADAAN Syuhadah akibat kebakaran berkenaan.
KEADAAN Syuhadah akibat kebakaran berkenaan.
Mohd Rizal Abdullah


KEMENTERIAN Pendidikan akan meneliti semua inisiatif bagi membantu Syuhadah Azhari, 27, guru yang melecur akibat kebakaran kuaters di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, di Mulu, Rabu lalu.

Mangsa kini masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Miri.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata, antara inisiatif dipertimbangkan adalah memindahkan Syuhadah ke ibu negara bagi rawatan lanjut, sekiranya perlu.

Pihaknya juga akan membantu memanjangkan tempoh cuti Syuhadah berikutan tempoh rawatan mangsa mengambil masa lama.

"Saya juga akan meninjau lokasi kejadian hari ini dan akan meneliti semua aspek untuk tindakan sewajarnya," katanya selepas melawat Syuhada dan keluarga di Hospital Miri, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong

Beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada keluarga mangsa.

Syuhadah yang bertugas di SK Penghulu Baya Mallang melecur 25 peratus akibat kebakaran itu.

Tragedi kebakaran itu mengorbankan rakan setugas Syuhada, Catherine Janet Tiwi, 25, yang terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakannya itu.

Sementara Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong ketika ditemui NSTP semalam berkata, siasatan mendapati punca kebakaran bermula dari dapur kuaters didiami mangsa.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti elemen yang mengakibatkan kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 11:47 AM