Hasbi Sidek


SEBUAH syarikat multinasional yang beribu pejabat di ibu negara diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya kerana disyaki terbabit dalam skim piramid, hari ini.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, ‘drama’ turut berlaku apabila pengawal keselamatan premis yang terletak di Bukit Jalil enggan membuka pintu walaupun pihak berkuasa sudah menunggu hampir 10 minit.

Pada mulanya, terdapat seorang individu berkomunikasi melalui interkom, namun dia enggan memberi kerjasama selepas dimaklumkan kedatangan pihak berkuasa dengan waran geledah.

Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang lelaki mendakwa peguam syarikat muncul pada jam 12 tengah hari sambil meminta waran geledah, selain turut mengambil gambar operasi.

Tindakan lelaki berusia 40-an yang merakam gambar menimbulkan ketidakselesaan kepada anggota dan pegawai penguat kuasa sebelum pihak polis yang turut berada di lokasi memintanya tidak mengambil gambar dan memadamkan gambar yang sudah diambil.

Bagaimanapun, lelaki itu berdegil dengan mendakwa pihak polis tidak mempunyai hak untuk memintanya menyerahkan telefon bimbit sebelum dia diarah menunjukkan pengenalan diri.

Lelaki itu enggan menyerahkan pengenalan diri sebelum berlaku kekecohan.

'Peguam' berkenaan turut menunjukkan 'kuasanya' dengan mendakwa mahu menghubungi Ketua Polis Daerah dan wartawan kerana tindakan polis yang melanggar haknya.

Bagaimanapun, situasi dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian.

Difahamkan, syarikat berkenaan diketuai seorang wanita bergelar Datuk Seri menjalankan pelbagai perniagaan seperti telekomunikasi, hartanah, pelaburan, hiburan dan hospitaliti, namun perniagaan mereka didapati menggunakan konsep skim piramid.

Difahamkan, mereka merekrut individu terutama dari China untuk melabur dengan pulangan lumayan, namun gagal menjelaskan pulangan semula.

Sehingga jam 5 petang, operasi yang dijalankan di 18 premis syarikat itu di sekitar ibu negara, Selangor dan Perak belum berakhir dengan rampasan pelbagai dokumen dan peralatan.

Syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 27B (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 kerana menyalahi undang-undang untuk mempromosikan atau menjalankan skim piramid.

Sidang media berhubung serbuan itu akan dilakukan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Roslan Mahyudin di Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya, jam 11 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 9:34 PM
PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP melakukan serbuan sebuah premis yang dipercayai melakukan sindiket piramid atau MLM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP melakukan serbuan sebuah premis yang dipercayai melakukan sindiket piramid atau MLM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD