MOHMAD Salleh, menunjukkan antara barang rampasan ketika sidang media rampasan dadah disyaki Syabu seberat 156 kg berjumlah RM 7.8 Juta di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Ampang. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
MOHMAD Salleh, menunjukkan antara barang rampasan ketika sidang media rampasan dadah disyaki Syabu seberat 156 kg berjumlah RM 7.8 Juta di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Ampang. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Hasbi Sidek

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa Jepun berhubung penahanan dua wanita warga Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, 19 Julai lalu.

Kedua-dua wanita itu ditahan kerana disyaki menyeludup dadah masuk ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat awal berhubung tangkapan itu yang turut merampas 1.5 kilogram dadah jenis methaphetamine dianggarkan bernilai RM3.3 juta.

"Daripada maklumat yang kami terima, dua wanita warga Malaysia berusia 20-an berasal dari Sabah ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, pada 19 Julai lalu kerana disyaki menyeludup dadah yang disorokkan pada badan.

"Pihak kami sedang berinteraksi dengan pihak polis negara itu untuk mendapatkan butiran lanjut memandangkan tangkapan dilakukan pihak kastam, polis mereka juga sedang mendapatkan laporan daripada pihak kastam," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, di sini hari ini.

Menurut laporan 20 Julai lalu, dua wanita warga Malaysia ditahan Jabatan Polis Metropolitan dan Kastam Tokyo di Lapangan Terbang Haneda, Jepun kerana disyaki menyeludup dadah yang disorokkan dalam pakaian dalam.

Menurut Badan Kawalan Jenayah Terancang, wanita berusia 20 dan 22 tahun itu membawa lapan peket dadah dianggarkan seberat 1.5 kilogram dengan nilai kira-kira 90 juta Yen (RM3.25 juta).

Kedua-dua wanita itu mengaku menyeludup dadah dengan menyembunyikannya dalam tuala wanita, seluar dalam dan coli mereka.

Berita berkaitan:

Kantoi sorok dadah dalam coli, seluar dalam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:12 PM