TIGA rakyat Malaysia yang ditahan cuba membawa masuk dadah ke Lombok.
TIGA rakyat Malaysia yang ditahan cuba membawa masuk dadah ke Lombok.

Kuala Lumpur: Sumbat dan sembunyi dadah di dalam seluar dalam. Itu taktik diguna pakai tiga rakyat Malaysia yang cuba menyeludup dadah syabu ke Lombok, Indonesia, pagi semalam.

Lebih mengejutkan apabila seorang suspek berusia 21 tahun yang ditahan didapati sedang sarat mengandung.

Jakarta Post melaporkan, dua lelaki dan seorang wanita rakyat Malaysia itu ditahan pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok.

Suspek dikesan menyeludup 1.9 kilogram kristal syabu ke pulau peranginan itu.

Memetik laporan itu, ketiga - tiga suspek berusia 21 hingga 24 tahun cuba menyeludup dadah berkenaan dengan menyembunyikannya di dalam seluar dalam dipakai.

“Kami menahan tiga rakyat Malaysia itu sejurus mereka tiba di lapangan terbang menggunakan penerbangan tambang murah laluan Kuala Lumpur ke Lombok.

“Mereka didapati membawa syabu bernilai sekitar Rupiah 3.5 bilion (RM1.07 juta),” menurut Ketua Pegawai Kastam dan Eksais, Himawan Indarjono.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Polis West Nusa Tenggara (NTB) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:55 AM