BERAT badan Md Yusoff alami penyusutan ketika ditemui di Kampung Paya Besar Hulu, semalam.
BERAT badan Md Yusoff alami penyusutan ketika ditemui di Kampung Paya Besar Hulu, semalam.
Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Sejak disahkan menghidap penyakit buah pinggang, tekanan darah tinggi dan kencing tidak lawas dua tahun lalu, seorang lelaki kini terpaksa bergantung kepada isteri untuk menyara keluarga.

Md Yusoff Jaafar, 53, berkata, akibat penyakit itu dia tidak boleh melakukan kerja berat sehingga tiada punca pendapatan selepas berhenti berniaga di pekan sehari dan mengambil upah meracun kebun penduduk.

Kini, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paya Besar Hulu, Kuala Ketil itu hanya bergantung kepada pendapatan isteri, Aini Haslinda Ismail, 41, sebanyak RM800 sebulan yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Selain itu, dia turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan.

Menurutnya, penyakit buah pinggangnya itu kini berada pada tahap enam dan perlu menjalani rawatan hemodialisis di pusat rawatan mencuci buah pinggang swasta di Kulim tiga kali seminggu.

“Setiap kali menjalani rawatan cuci buah pinggang, saya perlu menyediakan RM100 untuk membayar kos rawatan.

“Itu tidak termasuk kos menyewa kenderaan, sedangkan saya tidak bekerja, cuma mengharapkan bantuan yang diberi JKM dan gaji isteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Besar Hulu, Kuala Ketil, di sini, kelmarin.

Bapa kepada tiga anak itu pernah dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani pada 2016 selama sebulan bagi mendapatkan rawatan apabila sebahagian badan, terutama betis, lengan dan muka bengkak selain sukar untuk membuang air kecil.

Sejak itu, atas nasihat doktor, Md Yusoff tidak dibenarkan melakukan kerja berat dan isterinya terpaksa menggalas tugas menyara mereka sekeluarga.

Orang ramai yang simpati dengan nasib Md Yusoff dan ingin menyumbang boleh menghubunginya di talian 019-4770948.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:08 AM