Mohammad Amirul  (kiri) memakaikan jubah  kepada ayahnya, Azman.
Mohammad Amirul (kiri) memakaikan jubah kepada ayahnya, Azman.
Khairul Najib Asarulah Khan

Port Dickson: “Saya akan terus mencari ilmu untuk menjadi yang terbaik dan mengubah nasib keluarga,” kata Mohammad Amirul Arsyad Azman, 22, penerima Anugerah Pengarah sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson (PPD) di sini, semalam.

Mohammad Amirul yang menerima Anugerah Pengarah Sesi Disember 2017 itu adalah antara 1,469 graduan yang menerima sijil dan diploma dalam sidang pertama konvokesyen terbabit.

Majlis berkenaan disempurnakan Undang Luak Sungei Ujung, Datuk Mubarak Dohak.

Hadir sama, Pengarah PPD, Roslee Yahya.

Graduan Diploma Seni Bina itu berkata, bapanya, Azman Hamid, 52, sering berpesan belajar bersungguh-sungguh supaya masa depan lebih baik berbanding dirinya yang bekerja sebagai operator kilang.

Katanya, keadaan keluarga membuatkan dirinya ingin membuktikan orang yang tidak mempunyai pendidikan tinggi boleh mendidik anak mereka sehingga berjaya.

“Saya tidak sanggup melihat ayah seperti diperlekeh atau dipandang rendah hanya kerana taraf pendidikannya.

“Perkara itu menjadi kekuatan dan pemangkin untuk saya terus menimba ilmu seterusnya mencapai kejayaan,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Mohammad Amirul yang berasal dari Sekinchan, Selangor berkata, pada April lalu dia sudah mendapat tawaran kerja daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebagai penolongpPegawai seni bina.

“Saya akan mula bekerja pada minggu depan namun lokasinya belum ditentukan lagi.

“Selepas mempunyai pengalaman kerja saya akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan belajar secara pengajian jarak jauh (PJJ),” katanya.

Seorang lagi graduan, Muhammad Fahruddin Zainuddin, 28, yang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum berkata, dia pelajar paling tua berbanding rakan kuliah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:55 AM