Mohammad Asakhir dan Nuramira Izzati berkongsi kegembiraan pada Majlis Konvensyen Kolej Vokasional Port Dickson di Hotel Ehsan Seaview. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohammad Asakhir dan Nuramira Izzati berkongsi kegembiraan pada Majlis Konvensyen Kolej Vokasional Port Dickson di Hotel Ehsan Seaview. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kebanyakan graduan Kolej Vokasional (KV) Port Dickson di sini, tidak sempat menganggur apabila masing-masing berjaya mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian.

Graduan Diploma Teknologi Pembinaan, Muhammad Asakhir Daniel Muhammad Taufiq, 21 berkata, dia memulakan pekerjaan sebagai pengurus tapak selepas selesai membuat latihan industri pada Ogos tahun lalu.

"Saya diterima bekerja di tempat saya menjalani latihan industri pada Mac sebelum mengambil lesen kontraktor kelas G 1 pada Julai tahun lalu, sekali gus memberikan pengalaman baharu buat saya.

"Pada peringkat awalnya saya bercita-cita menjadi anggota tentera bagi mengikut jejak langkah kedua ibu bapa yang juga pesara tentera.

"Namun, saya mengambil keputusan meneruskan pekerjaan dalam bidang kontraktor kerana belajar dalam bidang ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Ke-6 2021, Kolej Vokasional Port Dickson di sini, hari ini.

Seramai 200 pelajar KV Port Dickson menerima diploma masing-masing dalam majlis berkenaan.

Katanya, kini masa depan cerah dan mampu meraih pendapatan sekitar RM10,000 sebulan.

"Bagi saya apa juga bidang, yang penting minat serta perlu ada kesungguhan, pada masa sama saya mendapat bantuan majikan ketika latihan praktikal dahulu," katanya yang rasa bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada keluarga KV.

Seorang lagi graduan, Nuramira Izzati Mohd Tarmizi, 21, berkata, dia mengikut jejak langkah bapanya, Mohd Tarmizi Mokhtar, 44, yang juga seorang kontraktor binaan.

"Bagaimana pun, saya tidak bekerja dengan ayah, kami berada di syarikat berbeza, ia membolehkan saya berdikari dan mencari pengalaman baharu dalam bidang yang diminati.

"Walaupun negara masih dalam pandemik Covid-19 saya bersyukur kerana tidak menganggur selepas tamat pengajian dan saya akan manfaatkan peluang yang ada.

"Alhamdulillah, ilmu di KV ini meyakinkan saya untuk bersaing dalam dunia yang biasanya dipelopori kaum lelaki, pada masa sama berkat tunjuk ajar pensyarah yang sentiasa memberi nasihat jika ada sebarang masalah di tempat kerja," katanya yang juga anak tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:01 PM