ABDUL Hanif (kiri) bersama  Abdul Haris memegang skrol Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal yang diperolehnya.
ABDUL Hanif (kiri) bersama Abdul Haris memegang skrol Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal yang diperolehnya.
Farah Suhaidah Othman

Seri Iskandar: “Kalau saya lemah dalam satu-satu mata pelajaran, adik akan membantu dan begitu juga sebaliknya,” kata Abdul Hanif Abdullah, 23.

Abdul Hanif bersama kembar tidak seirasnya, Abdul Haris yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal antara 1,469 graduan yang menerima ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) ke-16 di sini, semalam.

Abdul Hanif berkata, sejak lahir hingga berjaya melangkah ke menara gading, dia dan kembarnya tidak pernah berpisah meskipun mereka memiliki sikap dan perwatakan berbeza.

Menurutnya, dia dan kembarnya menjadikan bapanya, seorang jurutera mekanikal di Petronas sebagai idola untuk turut sama menempa kejayaan dan menamatkan pengajian dalam bidang sama.

“Saya tidak sangka percaturan hidup kami sentiasa bersama kerana saya dan adik ada juga memohon jurusan lain sebelum memasuki universiti, namun akhirnya kami ditawarkan dalam jurusan sama di universiti sama, malah tinggal dalam bilik sama di asrama serta bertugas di syarikat sama.

“Jadi, sepanjang pengajian, saya dan adik sama-sama melengkapi antara satu sama lain,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.37.

Katanya, meskipun kadangkala rasa tercabar dengan adiknya yang lebih bijak daripadanya, namun keadaan itu menjadi kayu pengukur untuk dia bersaing secara sihat.

“Sejak di bangku sekolah, Haris memang selalu dapat markah lebih tinggi daripada saya, malah CGPA dia pun tinggi sedikit daripada saya, jadi sebagai abang, kadang- kadang saya tercabar, namun menganggapnya sebagai cabaran untuk menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abdul Haris yang lahir setengah jam lewat daripada abangnya berkata, meskipun dia dan kembarnya mempunyai minat sama, namun karakter dirinya dan Abdul Hanif berbeza.

“Saya lebih pendiam manakala Hanif pula lebih suka bercakap dan agak agresif tetapi kalau saya marah, saya lebih garang daripada dia,” katanya yang memperoleh CGPA 3.49.

Sementara itu, Anugerah Canselor Emas dianugerahkan kepada pelajar jurusan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum, Mohd Shahrul Azhar Mohd Long manakala Anugerah Canselor Perak diberikan kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Petroleum Geosains, Norsyafiqah Salimun dan penerima Anugerah Canselor Gangsa diraih pelajar ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Cheah Zi Chian.

Anugerah disampaikan Canselor UTP, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UTP yang juga Pengerusi Institut Teknologi Petronas Sdn Bhd, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman dan Naib Cancelor UTP, Datuk Abdul Rahim Hashim.

Abdul Rahim berkata, seramai 1,469 graduan dianugerahkan ijazah termasuk 87 yang menerima PhD, sarjana (138) dan 1,244 menerima sarjana muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 9:53 AM