Jakarta: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menafikan dakwaan kononnya menerima tujuh nota bantahan daripada Kementerian Luar Indonesia berhubung dakwaan tentera Malaysia menceroboh kawasan perairan Laut Sulawesi atau lebih dikenali sebagai Ambalat.

Duta Besar Malaysia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pihaknya kesal dengan dakwaan itu kerana ia tidak benar sama sekali.

“Sama ada secara hubungan diplomatik mahupun hubungan ketenteraan, setakat ini kita tidak menerima sebarang nota bantahan dan kerajaan Malaysia juga telah menafikan kononnya berlaku pencerobohan seperti didakwa oleh media Indonesia,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas diwawancara oleh CNN Indonesia di sini, hari ini.

CNN Indonesia dalam wawancara khas itu meminta Zahrain mengulas kononnya Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi mengeluarkan kenyataan bahawa republik itu menghantar tujuh nota bantahan kepada Malaysia berkaitan dakwaan berlakunya pencerobohan oleh tentera Malaysia.

Beliau berkata, jika benar ada nota bantahan, sudah tentu pihaknya akan menyelesaikan masalah itu secara diplomatik.

“Malaysia dan Indonesia sudah menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincang masalah yang timbul mengenai kawasan Ambalat itu dan jika benar berlaku pencerobohan, masalah itu akan diselesaikan secara rundingan dalam jawatankuasa berkenaan,” kata Zahrain.

Sebuah akhbar Indonesia baru-baru ini memetik Retno sebagai berkata, beliau masih menunggu data terperinci koordinat daripada Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI) mengenai dakwaan pencerobohan oleh tentera Malaysia itu.

Panglima TNI Jen Moeldoko pula dipetik sebagai berkata, jika benar ia berlaku, beliau akan memberi peringatan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Moeldoko berkata pihak angkatan tentera kedua-dua negara sebelum ini bersetuju menjaga keamanan dan tidak mahu menimbulkan sebarang konflik.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah, Malaysia itu timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979. Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:21 PM