MOHD Harif Iskandar Rosli ditemui meninggal dunia di dalam besen dalam bilik air rumah keluarganya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut. FOTO Mohammad Ishak
MOHD Harif Iskandar Rosli ditemui meninggal dunia di dalam besen dalam bilik air rumah keluarganya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


BUDAK lelaki ditemui mati dalam besen di bilik air di rumah keluarganya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, Jertih, hari ini.

Kejadian berlaku 10 pagi ketika mangsa, Mohd Harif Iskandar Rosli, 2 tahun dua bulan, dikatakan masuk ke bilik mandi dan cuba mengambil gelas yang tiba-tiba terjatuh ke dalam besen.

Kakaknya, Nor Ayani Rosli, 9, yang menyedari kehilangan adiknya, masuk ke bilik air dan ternampak mangsa tersungkur di dalam besen yang berisi air.

Bapanya, Rosli Johari, 37, berkata, ketika ditemui mangsa sudah tidak memberi sebarang reaksi dan dikejarkan ke Hospital Besut.

Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Katanya, isterinya Norhanan Mat Yasin, 27, ketika kejadian sedang membancuh susu untuk arwah.

Mayat mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Padang Bual, selepas solat Asar petang ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihak polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 5:20 PM