HARUN yang mengusahakan ternakan ikan dan udang di Kampung Baharu.
HARUN yang mengusahakan ternakan ikan dan udang di Kampung Baharu.
Syah Rul Aswari Abdullah


Jerantut: Penduduk di sekitar Kampung Baharu, di sini, mahu pihak berkuasa menghentikan aktiviti penerokaan hutan bagi tujuan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan.

Mereka mendakwa aktiviti itu yang bermula sejak tahun 1980-an menjejaskan hutan itu yang menjadi kawasan tadahan air semula jadi dan sumber alternatif bekalan air kepada penduduk.

Penduduk kini bingung apabila sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada Lata Besen, di sini, sebagai sumber bekalan air bersih untuk keperluan harian.

Ia kerana penduduk tidak boleh bergantung bekalan air paip berikutan beberapa tempat
di kawasan berkenaan sentiasa mengalami gangguan bekalan air akibat tekanan air rendah.

Penduduk Kampung Baharu, Saiful Nizam Sulaiman, 29, berkata, penduduk sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa termasuk mengemukakan petisyen kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini kawasan hutan di sekitar kampungnya masih diteroka untuk tujuan pembalakan.

Katanya, kerja awal iaitu dengan membina jalan balak sudah mengakibatkan hakisan dan menyebabkan air lumpur mengalir masuk ke Sungai Besen yang menjadi sumber alternatif bekalan air kepada penduduk.

“Ini menyebabkan air sungai menjadi keruh dan tidak dapat digunakan. Jika hendak diharapkan bekalan air paip, kawasan ini memang ada gangguan bekalan, jika buka paip pun yang keluar hanya angin.

“Adakala dalam sebulan, kami mengalami masalah bekalan air selama 15 hari.

“Jadi, mahu tidak mahu, penduduk mengambil inisiatif memasang paip dari sungai terus ke rumah untuk mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Saiful Nizam yang turut mengusahakan projek pembenihan ikan berkata, masalah itu memberi kesan kepada pengeluaran benih, ternakan ikan dan udang dalam kolam yang bergantung kepada sumber air semula jadi dari Lata Besen.

Katanya, ini kerana aktiviti itu menjejaskan sumber air di situ yang mempunyai pH paling sesuai untuk menghasilkan benih ikan berkualiti tinggi.

“Kami menggunakan air dari Lata Besen untuk ke kawasan kolam kami. Jika air ini kotor dan berlumpur, ia memberi kesan kepada proses pembiakan ikan patin dan talapia.

“Sebelum ini, projek ini mampu menghasilkan antara 80,000 hingga 90,000 benih ikan talapia dan antara 150,000 hingga 250,000 benih ikan patin, bagi tempoh sebulan.

“Ia bagi memenuhi keperluan penternak ikan sangkar dan kolam di pantai timur. Tetapi akibat masalah bekalan air keruh, pulangan projek berkurangan sehingga hampir separuh,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Baharu Harun Abu Bakar, 50, berkata kesan aktiviti itu dapat dilihat apabila kuantiti air dari Sungai Besen semakin berkurangan apabila kawasan di sekitarnya diteroka bagi tujuan pembalakan.

“Rumah saya turut menggunakan air diambil dari Sungai Besen. Setiap kali hujan, saya terpaksa menunggu sehingga dua dan tiga hari supaya keladak mendap di bahagian bawah tangki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:16 AM