Anggota penguat kuasa  MPN menyita barangan yang dijual warga asing di Taman Semarak 2, Nilai.
Anggota penguat kuasa MPN menyita barangan yang dijual warga asing di Taman Semarak 2, Nilai.
Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Dua warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kaki lima kedai di Taman Semarak 2 di sini, menerima padah apabila barangan mereka disita Majlis Perbandaran Nilai (MPN), kelmarin.

Sumber MPN berkata, dalam operasi bermula jam 10.15 pagi hingga 12.35 tengah hari membabitkan lapan anggota MPN selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua warga asing dari Pakistan dan Indonesia berusia 40-an menjalankan perniagaan di kaki lima kedai di kawasan terbabit sejak seminggu lalu.

“Mereka menjual barangan seperti aksesori telefon, tali pinggang, pewangi kereta dan pengelap cermin kenderaan serta difahamkan sebelum ini melakukan aktiviti sama di lokasi berbeza.

“MPN menyita barangan terbabit mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Penjaja MPN 1981 dan UUK 7 (3) Penjaja MPN 1981 kerana menjalankan perniagaan di kawasan larangan dan tidak mempunyai lesen perniagaan sah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan premis tanpa lesen terutama dikendalikan warga asing boleh menyalurkan maklumat kepada MPN untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:19 AM