GAMBAR fail menunjukkan penguat kuasa PBT menyita barangan milik peniaga warga asing di hadapan premis di Jalan Dato’ Bandar Tunggal, Seremban pada 2 September lalu. Foto Ihsan Pembaca
GAMBAR fail menunjukkan penguat kuasa PBT menyita barangan milik peniaga warga asing di hadapan premis di Jalan Dato’ Bandar Tunggal, Seremban pada 2 September lalu. Foto Ihsan Pembaca
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan pasar selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, kementeriannya memandang serius dan sentiasa memantau aktiviti perniagaan di pasar awam atau gerai bagi menangani isu perniagaan secara haram termasuklah peniaga warga asing.

"UUK ini menggariskan bahawa pengeluaran lesen hanya diberikan kepada wargan Malaysia sahaja dan warga asing yang bekerja dengan penyewa premis berkenaan mestilah mempunyai pas kerja yang sah.

"Bagi penyewa premis yang menyewakan tapak kepada warga asing, PBT tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas dengan menarik semula sewaan tapak serta lesen perniagaan dibatalkan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai bentuk pemantauan atau kawalan yang dibuat PBT terhadap isu lambakan warga asing yang menjalankan perniagaan di premis atau menjadi penjaja serta dilihat menguasai ekonomi setempat.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, bagi menangani isu lambakan warga asing, PBT amat komited melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan melakukan semakan status peniaga sedia ada serta pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan PBT dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan sebarang tindakan penahanan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (Pati) adalah di bawah bidang kuasa dan pengurusan jabatan itu.

"PBT melaksanakan 1,539 operasi bersepadu bagi 2022 sehingga 31 Ogos 2023.

"Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan juga bersedia dan akan memberi kerjasama yang padu dengan kementerian atau agensi penguatkuasan lain untuk bersama turun padang sebagai usaha mengekang penularan masalah perniagaan secara haram oleh warga asing," katanya.

Menurutnya, kerjasama semua pihak juga penting dalam melaporkan kepada PBT mengenai premis perniagaan yang disyaki telah diusahakan oleh warga asing.

Katanya, mana-mana ahli parlimen atau orang awam yang mengesyaki premis perniagaan diusahakan oleh warga asing boleh mengemukakan aduan melalui aplikasi i-Tegur dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) melalui kpkt.spab.gov.my.

"Aplikasi i-Tegur memberi kemudahan kepada orang ramai membuat aduan perkhidmatan perbandaran secara dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 12:02 PM