injauan tukang jahit warga asing di Sungai Besi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
injauan tukang jahit warga asing di Sungai Besi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,539 operasi bersepadu dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap premis perniagaan membabitkan warga asing dari 2022 sehingga 31 Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 26,108 lesen peniaga dibatalkan disebabkan pelanggaran syarat-syarat lesen atau premis selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

"PBT melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dengan melakukan semakan status peniaga sedia ada serta pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT.

"Operasi bersepadu juga dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan sebarang tindakan penahanan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (Pati) di bawah bidang kuasa dan pengurusan jabatan itu," katanya.

Aiman Athirah berkata, PBT memandang serius dan sentiasa memantau aktiviti perniagaan yang dijalankan di pasar-pasar awam,

gerai dan premis perniagaan bagi menangani isu perniagaan haram termasuk peniaga warga asing.

Menurutnya, PBT juga tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta, pasar awam dan penjaja kecil.

"Ia selaras dengan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian serta UUK Penjaja. UUK ini telah menggariskan bahawa pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.

"Bagi penyewa premis yang menyewakan tapak kepada warga asing, PBT akan mengambil tindakan tegas dengan menarik semula sewaan tapak serta lesen perniagaan dibatalkan.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga bersedia dan memberi kerjasama turun padang mengekang penularan masalah peniagaan haram warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 12:20 PM