ARWAH Rahmah (kiri) dan kedai menjual kuih keria antarabangsa Hajah Rahmah di Limbongan. FOTO arkib NSTP dan Rasul Azli Samad
ARWAH Rahmah (kiri) dan kedai menjual kuih keria antarabangsa Hajah Rahmah di Limbongan. FOTO arkib NSTP dan Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


PENGASAS Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah Limbongan, Rahmah Dolah, 73, meninggal dunia di Melaka, hari ini akibat sakit jantung.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Melaka pada jam 12.57 tengah malam tadi, selepas mengadu kembali demam.

Anak ketiganya, Junaidah Jalil, 43, berkata ibunya sebelum ini dimasukkan ke hospital itu selepas mengadu sesak nafas pada malam hari raya kedua (16 Jun lalu) lalu.

“Ibu memang menghidap sakit jantung sejak kira-kira enam tahun lalu dan dia dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada. Pada awalnya, disangka sakit biasa, namun semakin teruk.

“Justeru, ibu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) selama lima hari. Apabila sedar dan kelihatan sihat lalu ibu dipindahkan ke wad biasa selama tiga hari, sebelum dilapor demam dan diserang sakit jantung malam tadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Limbongan, hari ini.

Junaidah berkata, berikutan kesihatan yang semakin merosot, ibunya tidak lagi melakukan kerja membuat dan menjual kuih keria, namun tetap dibawa ke kedai kerana dibimbangi diserang sakit jantung jika ditinggalkan bersendirian di rumahnya di Taman Limbongan Permai.

“Memang saya yang uruskan perniagaan Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah, manakala satu lagi Kedai Keria Haji Jalil diuruskan adik-beradik yang lain,” katanya.

Beliau berkata, ibunya mengusahakan perniagaan kuih keria sejak tahun 1979 dan air tangan Allahyarham cukup popular dan sering menjadi tular sehingga Jalan Limbongan ke Pantai Klebang sentiasa sesak gara-gara pengunjung dari dalam dan luar Melaka tidak melepaskan peluang membeli juadah itu.

“Malah, pemburu makanan antarabangsa dari luar negara juga meletakkan kedai arwah ibu sebagai destinasi wajib dituju apabila berkunjung ke Malaysia,” katanya.

ANAK Rahmah menyiram dan menabur bunga di kubur allahyarham. FOTO Mohd Hilmie Hussin
ANAK Rahmah menyiram dan menabur bunga di kubur allahyarham. FOTO Mohd Hilmie Hussin

Sementara itu, cucu kesayangan Rahmah, Firzanah Batrisyah Mohd Rawi, 6, cukup memahami pemergian nenek kesayangannya itu.

Malah, apabila wartawan NSTP berkunjung ke rumahnya, anak kecil itu pantas mengambil satu bingkai gambar keluarganya bersama Allahyarham.

“Ini gambar terbaru nenek dengan saya, saya sayang nenek. Nenek selalu belikan hadiah, dulu nenek belikan basikal.

“Malam ni saya tak boleh tidur dengan nenek, saya kena tidur dengan mama kerana nenek sudah pergi,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 5:52 PM