Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Keria Gula Melaka ‘Pia Sentap’ mempopularkan gerai kuih tepi jalan diusahakan pasangan suami isteri di Kangkar Pulai di sini, apabila menjual sehingga 1,000 kuih itu setiap hari.

Pasangan Darwan Darmuzi, 26, dan Safiah Tulisman, 30, tidak menyangka formula pembuatan kuih tradisi diwarisi sejak turun-temurun itu mendapat tempat di hati pelanggan.

Katanya, bermula daripada tempahan menerusi Facebook (FB), perniagaannya semakin berkembang maju hingga menghasilkan 700 hingga 1,000 kuih keria setiap hari.

“Ketika itu tular kuih keria gula Melaka di Melaka. Pada masa sama saya mengolah kembali resepi turun-temurun daripada nenek moyang kami dengan menerima tempahan pelanggan secara dalam talian.

“Tidak sangka tempias keria viral itu menyebabkan kuih tradisi yang kami jual ini mendapat permintaan di luar jangka termasuk pelanggan dari Pasir Gudang dan Kota Tinggi serta seluruh negeri ini,” katanya di gerai itu di Jalan Pulai Bestari 1, Kangkar Pulai, di sini.

PELANGGAN membeli kuih keria yang dijual Darwan dan Safiah di Jalan Pulai Bestari 1, Kangkar Pulai.
PELANGGAN membeli kuih keria yang dijual Darwan dan Safiah di Jalan Pulai Bestari 1, Kangkar Pulai.

Menurutnya, keenakan keria dihasilkan tidak dinafikan bukan saja lembut, tetapi sedap dimakan kerana menggunakan 100 peratus keledek putih.

“Biasanya air rebusan keledek digantikan dua kali untuk mendapat kuih keria yang sempurna, sekali gus mengeluarkan getah terdapat padanya.

“Selain kawalan api, cara menyira gula juga perlu sempurna termasuk keadaannya sudah betul-betul pekat,” katanya.

Katanya, sebarang tempahan juga boleh dipesan menerusi Facebook (FB) Safiah Tulisman Bakery.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 5:33 AM