PETA kawasan PRK Sandakan. FOTO arkib NSTP
PETA kawasan PRK Sandakan. FOTO arkib NSTP
Poliana Ronnie Sidom


MCA Sabah bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

Pengerusinya, Lee Wan Tung, bagaimanapun berkata, mereka masih membincangkan perkara itu dan belum ada keputusan sama ada akan meletakkan calon atau tidak.

Katanya, ada keperluan untuk MCA meletakkan calon di kerusi terbabit selepas UMNO mengesahkan tidak akan bertanding selain mengambil kira faktor hampir separuh daripada pengundi di kawasan berkenaan adalah masyarakat Cina.

“Belum ada keputusan setakat ini (sama ada akan meletakkan calon atau tidak), namun kita bersedia.

“Kita juga sedang kaji bersama Presiden MCA (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan bincang dengan lima bahagian (Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan) pelbagai aspek sebelum umum,” katanya ketika dihubungi, di Sandakan, hari ini.

Ketika ini hanya MCA dan UMNO komponen Barisan Nasional (BN) yang masih bertapak di Sabah.

Wan Tung berkata, MCA juga akan berbincang dalam BN serta parti pembangkang yang lain di Sabah untuk mencapai kata sepakat dan menetapkan hanya satu parti daripada blok pembangkang yang akan bertanding.

“Kita perlu satu suara (dalam parti pembangkang), tidak boleh semua (parti) mahu tanding,” katanya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt memperolehi 10,098 majoriti selepas menewaskan Datuk Lim Ming Hoo daripada Parti Liberal Demokratik (LDP).

Selain dua calon bebas yang sudah mengumumkan untuk bertanding di kerusi itu, beberapa parti termasuk Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan PAS menunjukkan minat untuk meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Turut dikatakan mengintai kerusi berkenaan adalah Parti Liberal Demokratik (LDP), namun tiada pengumuman rasmi dibuat sehingga ke hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian dan 7 Mei untuk pengundian awal, manakala 27 April sebagai tarikh penamaan calon.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 6:26 PM