Irwan Shafrizal Ismail; Veena Babulal dan Hazwan Faisal Mohamad

KABINET memutuskan untuk meneruskan projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) di ibu negara walaupun lebih RM3 bilion dana kerajaan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC), pemaju induk projek berkenaan diselewengkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju menyiapkan projek TRX dengan memperuntukkan dana tidak lebih RM2.8 bilion kepada TRXC.

Beliau berkata, keputusan itu akan menangani kebimbangan pelabur tempatan dan antarabangsa yang sedia ada di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.

“Kabinet membuat keputusan meneruskan projek TRX demi menjana kembali dana yang diselewengkan serta membayar balik semua pinjaman lama dengan mengambil kira kos peluang dan pelaburan yang sudah dibuat.

“Kabinet berpendapat bahawa penerusan projek itu akan menghasilkan keuntungan kecil kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

TRXC adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB.

TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB iaitu TRX dan Bandar Malaysia.

Lim berkata, sejak 2012 kerajaan sudah memperuntukkan RM3.7 bilion melalui jaminan pinjaman, memberikan pendahuluan, pemindahan dana dan pembelian tanah daripada TRXC.

“Daripada jumlah itu, RM3 bilion sudah diselewengkan oleh 1MDB dan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar hutang. Ini mengakibatkan TRXC kekurangan dana untuk memenuhi tanggungjawab sebagai pemaju induk TRX,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, sebanyak RM2.8 bilion diperlukan TRXC untuk menyiapkan infrastruktur projek TRX dan tanpa dana yang mencukupi, TRXC memohon bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Tanpa RM2.8 bilion, TRXC terpaksa menghentikan projek manakala kerajaan akan terpaksa menanggung bayaran pampasan RM3.51 bilion kepada beberapa pihak, selain kehilangan RM3.7 bilion sebagai kos lesap yang diperuntukkan kepada TRXC sebelum ini.

“Tambahan lagi Kuala Lumpur akan dibelenggu dengan satu lagi projek mega yang terbengkalai,” katanya.

Beliau berkata, Kabinet bersetuju menyiapkan projek itu termasuk memperuntukkan dana tidak lebih RM2.8 bilion kepada TRXC selepas mengambil kira semua faktor.

“Suntikan tambahan ini akan meningkatkan jumlah besar peruntukan kerajaan kepada TRXC berjumlah RM6.5 bilion. Penyiapan TRX akan membolehkan projek berkenaan mencapai nilai penuhnya sekurang-kurangnya RM7.6 bilion.

“Ini akan membolehkan TRXC membayar balik hutang dan menjana kembali dana yang diseleweng 1MDB. Saya juga sudah mengarahkan pihak pengurusan TRXC membuat laporan kepada panel penyiasatan 1MDB dan polis mengenai penyelewengan dana RM3 bilion oleh 1MDB.

“Kementerian Kewangan akan memastikan bahawa suntikan dana terbaharu ini akan dibelanjakan secara berhemah dan kepentingan pembayar cukai serta pelabur terus dibela,” katanya.

Lim berkata, sehingga kini, TRXC sudah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur tempatan dan antarabangsa seperti Mulia Property Development (Menara The Exchange 106), HSBC, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, Lendlease dan IJM.

“Bagi bangunan TRX sendiri setakat ini pembinaannya sudah 92 peratus siap.

“Selain itu pemaju yang terbabit dalam projek TRX juga akan dikekalkan kerana sudah terikat dengan perjanjian dibuat sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 4:59 PM