SUASANA kedai gunting rambut 05K Barber Shop di Pekan Melayu yang menjadi tumpuan ramai di penghujung Ramadan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SUASANA kedai gunting rambut 05K Barber Shop di Pekan Melayu yang menjadi tumpuan ramai di penghujung Ramadan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


TINGGAL beberapa hari lagi menjelang Aidilfitri, orang ramai mula sibuk membuat pelbagai persiapan di saat akhir.

Di samping menyediakan kuih muih, baju raya dan kelengkapan lain, penampilan diri iaitu rambut juga menjadi antara perkara yang tidak akan terlepas pandang terutamanya bagi kaum lelaki.

Tinjauan di kedai gunting rambut di Pekan Melayu, Alor Setar, mendapati ia dipenuhi pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tukang gunting rambut.

Menurut pemilik 05K Barber Shop, Mohamad Yusri Johariy atau lebih dikenali sebagai Ko’e, 28, kedai yang dibuka bersama dua lagi rakan kongsinya Shafiq Abdulloh atau Pitt, 27, dan Hasif Zaim atau Paktam, 25, itu sentiasa menjadi tumpuan di akhir Ramadan sejak ia dibuka tiga tahun lalu.

“Kami bertiga memang tidak menang tangan apabila penghujung Ramadan kerana ramai yang memilih menggunting rambut di saat akhir supaya kelihatan lebih kemas dan bergaya di hari raya.

“Sehingga kini kami sudah mempunyai enam pekerja dan kami melayan pelanggan yang tidak putus-putus sejak kedai mula dibuka pada 3 petang sehinggalah waktu bersahur iaitu 4 pagi.

“Pada hari biasa, pelanggan antara 30 hingga 40 orang saja, namun di penghujung Ramadan ia meningkat sekali ganda menjadi 80 orang, sehingga kami perlu bekerja sehingga lewat pagi,” katanya ketika ditemui di sini, tengah malam tadi.

Yusri berkata, setiap pelanggan akan dikenakan bayaran antara RM20 hingga RM30 mengikut gaya rambut yang mereka inginkan.

Katanya, ramai pelanggan memilih gaya potongan rambut yang klasik berikutan ia lebih nampak kemas dan sesuai untuk berhari raya.

Sementara itu, pelanggan, Muhammad Ashraf Abdullah, 20, berkata, dia akan ke kedai itu setiap dua minggu bagi memastikan gaya rambutnya tetap kekal sama dan kemas.

“Saya selesa gunting rambut di sini dan gemar membuat fesyen rambut ‘quiff’, fesyen ini tidaklah keterlaluan dan sesuai dengan cara kita orang Melayu untuk menyambut lebaran nanti.

“Saya suka membuat tempahan terlebih dulu sebelum datang kerana tidak mahu menunggu berikutan setiap seorang pelanggan akan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, hasilnya semua orang pasti akan berpuas hati dengan cara mereka (tukang gunting rambut) yang sangat profesional,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Khairil Suboh, 24, berkata, dia pula sanggup menunggu lama demi mendapatkan perkhidmatan tukang gunting di kedai berkenaan walaupun terpaksa menunggu di luar.

“Kebanyakan kedai gunting rambut akan tutup awal berbanding di sini, pada waktu siang saya bekerja dan selepas solat Tarawih, saya datang. Saya tidak kisah menunggu kerana saya faham semua orang menggunting rambut untuk berhari raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:18 PM