Harry Abdullah tekun memotong rambut pelanggannya ketika ditemui di kedainya di Kampung Padang Siam. FOTO BERNAMA
Harry Abdullah tekun memotong rambut pelanggannya ketika ditemui di kedainya di Kampung Padang Siam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tanah Merah: Kurang seminggu menjelang sambutan Aidilfitri, bukan sahaja baju raya dan biskut raya perlu disiapkan, malah gaya rambut juga penting untuk ditampilkan pada pagi 1 Syawal.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata kedai gunting rambut di kawasan bandar mahupun pinggir bandar di sini semakin sesak dan menjadi tumpuan.

Seorang pengusaha kedai gunting rambut, Harry Abdullah, 38, berkata, semakin ramai pelanggan menyerbu kedainya setiap hari, untuk 'bojeng' (gunting rambut) dengan bayaran antara RM5 hingga RM8 mengikut gaya potongan.

"Sambutan semakin meningkat sejak minggu lalu dengan pelanggan tidak putus-putus datang ke kedai dan secara purata 50 orang sehari sehingga ada pelanggan sanggup menunggu lama dalam sejam atau dua jam.

"Sesetengah pelanggan pula membuat tempahan menerusi telefon untuk mengambil giliran mereka," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Kampung Padang Siam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Harry berkata, secara purata sebanyak 50 pelanggan sehari akan berkunjung ke kedainya, 'Kedai Gunting Harry' di Jalan Tanah Merah-Rantau Panjang di sini, berbanding hari biasa, iaitu kurang daripada 20 orang.

"Memandangkan saya hanya bekerja sendiri, saya terpaksa mengehadkan jumlah pelanggan dalam sehari kerana risau tidak sempat siap dan seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka menunggu dalam tempoh yang lama sebaik kedai dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang.

"Kebiasaannya orang ramai datang ke kedai saya waktu tengah hari dan petang kerana sebelah pagi ada yang bekerja dan bersekolah," katanya.

Seorang lagi pengusaha, Ku Syafiq Aizat Ku Zahid, 27, berkata, setiap tahun apabila menjelang seminggu atau dua minggu sambutan Aidilfitri beliau terpaksa memanjangkan operasi kedainya bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Hari biasa saya hanya buka kedai dari 10 pagi hingga 6 petang, namun sekarang ini saya terpaksa melanjutkan waktu operasi sehingga 12 tengah malam dengan memperuntukkan masa sejam untuk berbuka puasa dan rehat.

"Pelanggan terdiri daripada pelbagai lapisan umur sama ada kanak-kanak, muda atau warga emas yang datang ke kedai saya untuk menggayakan potongan rambut idaman mereka," katanya yang mengusahakan perkhidmatan gunting rambut sejak lima tahun lalu.

Katanya, ketika musim perayaan ini, dia mampu memperoleh pendapatan purata sehari lebih RM100 hingga RM200 dengan mengenakan caj RM6 hingga RM10 setiap pelanggan, berbanding hari biasa kurang RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 2:35 PM