HAIROOL turut berkebolehan menyediakan kopi untuk pelanggan.
HAIROOL turut berkebolehan menyediakan kopi untuk pelanggan.
HAIROOL (empat dari kanan) bersama kakitangannya.
HAIROOL (empat dari kanan) bersama kakitangannya.
PERKHIDMATAN cucian turut dijalankan.
PERKHIDMATAN cucian turut dijalankan.
ANTARA menu enak yang disediakan.
ANTARA menu enak yang disediakan.
KETUA pendandan Muhammad Aliuddin Hafiz Lokman memotong rambut pelanggan.
KETUA pendandan Muhammad Aliuddin Hafiz Lokman memotong rambut pelanggan.
Siti Zarinah Sahib

Untuk memotong rambut, kebiasaannya kaum Adam mengunjungi kedai gunting rambut India yang disifatkan lebih cepat dan cekap dengan harga berpatutan. Perkhidmatan disediakan pula bukan sekadar memotong rambut tetapi mencukur janggut atau misai dan tidak ketinggalan urut kepala.

Apa yang menyebabkan kedai gunting rambut ini popular? Antara faktornya adalah pelanggan tidak perlu menunggu lama dan biasanya urusan ‘mengemas wajah’ dan rambut siap dalam tempoh yang ditetapkan. Pelanggan pula rata-rata tidak cerewet dan menerima setiap gaya atau stail rambut kerana sudah terbiasa dengannya.

Peredaran masa ditambah perkembangan fesyen semasa, kini penggayaan rambut lelaki bukan lagi dianggap sesuatu yang luar biasa terutama di bandar besar. Disebabkan ramai lelaki kini mementingkan penampilan yang kemas dan bergaya, mereka ingin tampil menarik bukan saja menerusi pakaian tetapi juga dandanan rambut.

Oleh itu, kebanyakan kedai menggunting rambut menambah khidmat mencuci rambut dan nasihat mengenai gaya serta fesyen terkini.

Salah satu kedai gunting rambut yang menawarkan perkhidmatan dalam suasana berbeza dan eksklusif adalah Son’s Barber Shop & Cafe di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi. Menariknya ia bukan sekadar kedai yang menyajikan ruang menggunting rambut sebaliknya menyediakan kafe dengan sajian hidangan menyelerakan.

Keistimewaan Son’s Barber Shop & Cafe bukan saja dikendalikan tukang gunting profesional tetapi premis perniagaan ini turut menyajikan dekorasi menarik ala hipster berlatarbelakangkan rona gelap hitam. Memulakan operasi sejak 5 Januari 2016, ujar pemiliknya Mohd Hairool Anwar, pada mulanya dia memang ingin menerapkan konsep santai dengan gabungan kedai gunting rambut dan kafe.

Jelas Hairool, dia turut merasai pengalaman tidak menggembirakan ketika menggunting rambut kerana perlu menunggu lama. Jadi cetusan idea kewujudan kafe ini bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan terutama ibu bapa yang menemani anak menggunting rambut.

“Keselesaan di sini bukan sekadar untuk pelanggan tetapi bagi pihak yang menunggu. Jika sebelum ini mungkin ada yang terpaksa menunggu di dalam kereta tetapi dengan adanya kafe ini, ibu atau bapa akan lebih santai berada di kafe sambil menikmati hidangan disediakan.

“Malah kami turut memberikan secawan teh secara percuma kepada mereka,” katanya yang menyediakan hidangan tengah hari, minum petang dan malam kepada pelanggan dengan keistimewaan pada masakan Melayu dan Barat.

PENDANDAN ADA GAYA TERSENDIRI

Melihat gaya setiap pendandan ternyata mereka tampil dengan stail tersendiri. Berkemeja putih lengan panjang, dengan tali leher kupu-kupu dan bertopi semuanya tampak retro sekali gus menyenangkan mata memandang.

Kebanyakan mereka pula masih muda dan sanggup menyahut cabaran setiap hari. Mereka juga berpengetahuan dalam bidang dandanan dan potongan rambut serta tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelanggan.

“Semua yang bekerja di sini bukan sekadar sebagai tukang gunting rambut tetapi juga ibarat perunding yang memberikan pandangan mengenai gaya sesuai dengan penampilan pelanggan. Ada perbincangan sebelum potongan dilakukan. Biasanya kami mengikut kehendak pelanggan sekiranya ia sesuai atau mereka mengikut cadangan diberikan.

“Antara yang popular di sini seperti potongan bawah dan atas, pompadour, klasik, pertengahan, bawah, ‘high fade’, ‘top knot’ dan gaya bebas. Kebiasaannya ia mengambil masa 30 hingga 45 minit bergantung kepada jenis potongan. Ada juga sehingga satu jam sekiranya diikuti dengan cucian atau pewarnaan rambut,” katanya.

Lagu terkini yang disajikan sama ada berirama rancak atau perlahan turut memberikan mood gembira tatkala rambut dipotong, atau bagi yang sedang menikmati hidangan ia nyata mencetuskan nostalgia tersendiri.

Memiliki ijazah sarjana muda dalam jurusan Komunikasi massa jelas Hairool, kewujudan Son’s Barber Shop & Cafe adalah lebih kepada memenuhi kepuasan pelanggan. Sebab itu dia berusaha menyediakan ruang yang selesa dengan dekorasi menawan bersama hidangan lazat untuk mereka.

“Pelanggan bukan sekadar mendapat pengalaman baru menerusi gaya potongan terkini, mereka yang menunggu juga dipastikan menikmati keselesaan untuk tempoh yang lama. Selain itu saya percaya hari ini gaya atau fesyen rambut lelaki bukan lagi satu keperluan tetapi mengikut trend. Oleh itu seboleh-bolehnya saya cuba memberikan gaya terbaru kepada mereka,” jelasnya yang mempunyai tujuh pekerja dengan empat daripadanya adalah sepenuh masa.

BUAT KERJA AMAL

Berpegang kepada konsep ‘dapat balik apa yang diberi’ Hairool turut mengajar pekerjanya untuk tidak berkira. Walaupun pendapatan mereka berasaskan sistem komisen, pada masa tertentu pekerjanya dididik memberikan potongan percuma kepada golongan kurang upaya (OKU), orang tua dan anak yatim. Setakat ini sejak dibuka anak yatim dari Rumah bakti Al- Kauthar menjadi pelanggan setia.

“Kami langsung tidak mengenakan sebarang bayaran kepada anak yatim ini. Sama ada mereka ke sini atau staf yang akan ke sana bagi melakukan potongan rambut. Ternyata mereka gembira dengan khidmat yang kami berikan. Selain itu kami juga menjalankan khidmat sosial untuk gelandangan di Chow Kit dengan memberikan potongan rambut percuma kepada mereka.

“Ia sebagai khidmat sosial Son’s Barber Shop & Cafe kepada pelanggan. Pada masa sama saya ingin mendidik pekerja supaya tidak mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya melunakkan hati dengan kerja amal kerana ia dapat mengingatkan diri sendiri mengenai kesusahan orang lain dan menjadikan individu lebih bersyukur menerima rezeki masing-masing,” ulasnya.

Berpengalaman dalam perniagaan dobi dan mempunyai kedai dobi, Hairool melakukan pengubahsuaian dan dekorasi berasaskan cita rasa sendiri. Melihat hasilnya Hairool sangat berpuas hati kerana hiasan dalaman adalah 100 peratus apa yang diinginkan.

Walaupun tiada pengalaman dalam hiasan dalaman, dia percaya setiap kemahuan pasti ada jalan. Dia banyak melayari YouTube dan melihat majalah dekorasi mengenai warna dan susun atur letak yang ingin ditonjolkan.

“Selain hiasan, saya sangat mementingkan kebersihan. Oleh kerana kedai gunting dan kafe diadakan dalam kedai yang sama, saya membina ruang tertutup untuk bahagian potongan rambut. Hanya meletakkan empat kerusi pada satu masa dan agar pelanggan tidak menunggu, kami menggalakkan mereka membuat tempahan terlebih dulu. Ruangan ini juga hanya menempatkan pelanggan yang ingin menggunting rambut sebab itu ruangannya kecil berbanding kafe di bahagian hadapan,” katanya.

Merujuk kepada persaingan dalam perniagaan bagi Hairool ia sesuatu yang sihat. Walaupun di seksyen 7 mempunyai enam kedai gunting rambut namun Son’s Barber Shop & Cafe mempunyai kelainan kerana menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman. Setiap pendandan juga berpengalaman dan sering menjadi rujukan pelanggan setia.

Mempunyai tiga cawangan setakat ini iaitu di Bangi, Bandar Seri Putra dan Prima Saujana Kajang, Hairool berharap dapat membuka kedai seterusnya dengan konsep yang sama di luar Bangi dan Kajang.

“Kami menyediakan kaedah pelesenan dengan membenarkan usahawan menggunakan nama dan perkhidmatan yang sama. Tetapi konsep dan dekorasi terpulang kepada pemilik premis masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 1:37 PM