maklumat peribadi rakyat asing juga sepatutnya tidak boleh diberi kepada syarikat untuk diakses.
maklumat peribadi rakyat asing juga sepatutnya tidak boleh diberi kepada syarikat untuk diakses.
Wan Noor Hayati Wan Alias


Kuala Lumpur: Penganalisis bebas menggesa kerajaan membatalkan kuasa memproses, mengurus dan menyimpan data pekerja asing oleh syarikat swasta kerana bertentangan undang-undang imigresen dan pasport.

Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 menjelaskan hanya pegawai Imigresen sahaja berkuasa menerima permohonan, memproses, menampal pelekat sebarang pas atau permit kepada warga asing.

Katanya, kerisauan orang ramai apabila pas atau permit ini diproses dan ditampal pegawai bukan imigresen yang bekerja di syarikat berkenaan.

“Keselamatan negara tidak boleh diberi kepada syarikat dan tidak wajar dikompromi. Data maklumat adalah hak milik imigresen, kerajaan dan tidak boleh diberikan kepada syarikat, sama seperti maklumat tanah di pejabat tanah dan galian.

“Malah, maklumat peribadi rakyat asing juga sepatutnya tidak boleh diberi kepada syarikat untuk diakses kerana dibimbangi boleh dimanipulasi atau berlaku penyelewengan.

“Selama ini tiada siapa tahu kutipan duit syarikat berkenaan disalurkan kepada kerajaan atau syarikatnya sendiri kerana tiada audit dilakukan,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara selain isu berkaitan imigresen dan pekerja asing yang menjadi agenda utama Kementerian Dalam Negeri.

Mengulas lanjut, Shahul berkata, bagi meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam, jabatan khas diketuai Jabatan Imigresen perlu diwujudkan untuk mengendalikan pekerja asing.

Katanya, ia menepati manifesto Pakatan Harapan yang meminta semua urusan jabatan kerajaan dikendalikan syarikat atau kementerian tidak berkenaan diserahkan semula kepada jabatan awam terbabit.

“Mengurus pekerja asing yang kini dilihat sebagai lubuk meraihkan keuntungan besar oleh syarikat berkenaan perlu dihentikan kerana berkait rapat dengan isu kerahsiaan dan keselamatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 7:01 AM