Mustafar ketika sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dipercayai terbesar di Kuala Lumpur. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mustafar ketika sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dipercayai terbesar di Kuala Lumpur. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


DUA lelaki warga Bangladesh termasuk seorang daripadanya digelar ‘The Professor’ ditahan semalam kerana terbabit dalam aktiviti palsukan dokumen, kad dan pasport untuk warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen di dua lokasi di Ampang, Selangor.

Beliau berkata, ia adalah sindiket pemalsuan kad dan dokumen palsu terbesar pernah diserbu pihaknya berdasarkan jumlah rampasan yang dibuat.

"Kami dapati suspek boleh memproses sekeping e-Kad sepantas lima minit selain dua jam bagi menghasilkan dokumen pasport palsu.

"Kami juga berjaya merampas pelbagai peralatan dianggarkan berjumlah RM30,000 selain pelbagai jenis kad termasuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pas penggajian, pas pelajar, pas lawatan sosial, kad CIDB, i-Kad, e-Kad dan pasport palsu," katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, pihaknya masih menyiasat sama ada wujud anggota atau ahli sindiket lain yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, suspek dikatakan mula menjalankan aktiviti berkenaan sejak setahun lalu dengan mensasarkan pekerja dan warga asing dari India, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Difahamkan, suspek mengaut keuntungan antara RM50,000 hingga RM70,000 setiap bulan hasil aktiviti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 3:47 PM