Kuala Lumpur: “Warga asing dibenarkan bekerja sebagai tukang masak di restoran dan warung hanya sekiranya mereka memiliki permit kerja dalam bidang perkhidmatan dan makanan.”

Demikian menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Mustafa Ibrahim ketika mengulas penguasaan warga asing di dapur restoran dan warung di seluruh negara sebagai tukang masak.

“Permit sah di bawah bidang berkenaan dikeluarkan mengikut Akta Imigresen 1959/63, tetapi jika mereka gagal mengemukakan permit kerja yang sah, mereka boleh dikenakan hukuman dan tindakan mengikut akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, tindakan juga boleh diambil mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sekiranya mereka melanggar atau gagal mematuhi syaratpas atau permit yang dikeluarkan, contohnya mereka memiliki permit kerja bidang perladangan, tetapi bekerja di restoran.

Katanya, kebanjiran tukang masak warga asing juga berpunca akibat pembukaan restoran makanan antarabangsa yang banyak di Malaysia seperti makanan Korea, Jepun, India, China, Thailand, Itali dan lain-lain.

“Mereka akan membawa masuk tukang masak dari negara itu bagi mengekalkan keaslian menu makanan dan rasanya dan semestinya mereka ini memiliki permit kerja yang sah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Noorul Hassan Saul Hameed mengakui hampir 100 peratus ahlinya menggaji pekerja asing.

“Tetapi mereka mempunyai permit yang sah dalam sektor perkhidmatan dan makanan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sektor perkhidmatan pemakanan di negara ini memerlukan kepakaran pekerja asing, namun apa yang dikhuatiri ialah pekerja asing tanpa izin (PATI) yang kini menyusup masuk terutama di gerai serta warung.

Noorul Hassan berkata, apa yang lebih penting pengambilan suntikan tifoid sebelum mengendalikan makanan adalah perkara wajib dipantau.

“Disebabkan itu kita memerlukan pemantauan daripada pihak berkuasa memeriksa pekerja di restoran dan gerai makanan yang menyajikan pekerja asing sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:27 AM