PENOLONG Pengurus Pembangunan dan Penyelidikan BBSA Md Jefri Mohd Nor (kanan) memberi penerangan kepada Azmi (kiri), Penolong Pengarah Bahagian Operasi Mohd Sani Harul (dua dari kiri) dan Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Azizan Ismail (dua dari kanan).
PENOLONG Pengurus Pembangunan dan Penyelidikan BBSA Md Jefri Mohd Nor (kanan) memberi penerangan kepada Azmi (kiri), Penolong Pengarah Bahagian Operasi Mohd Sani Harul (dua dari kiri) dan Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Azizan Ismail (dua dari kanan).
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebagai langkah persediaan awal jika berlaku kebakaran atau kemalangan di tempat kerja, semua syarikat di negeri ini perlu menubuhkan Pasukan Keselamatan Kebakaran (ERT) yang dianggotai pekerja mereka termasuk pekerja warga asing.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Azmi Osman berkata, cadangan itu tercetus ketika beliau mengetuai JBPM Kelantan, namun tidak sempat dilaksanakan kerana ditukarkan ke negeri ini, April lalu.

“Sekiranya pasukan itu ditubuhkan, pekerja asing secara tidak langsung prihatin dan mengambil berat soal keselamatan di tempat kerja termasuk aset syarikat.

“Rata-rata syarikat pembuatan di Selangor menggaji atau mendapatkan perkhidmatan tenaga kerja asing terutama sektor perkilangan seperti The New Straits Times Press (NSTP) Malaysia (M) Berhad.

“Selain memperoleh gaji dan mengirimkan wang kepada keluarga mereka, langkah itu dianggap sumbangan kepada syarikat terutama yang beroperasi 24 jam. Mereka boleh membantu sementara menunggu kedatangan pihak bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja bersama enam pegawai kanan ke Loji Percetakan Balai Berita Shah Alam (BBSA), di sini, semalam.

Sesi lawatan itu bertujuan melihat peranan akhbar dan proses pencetakan dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

Menurut Azmi, semua pekerja asing itu bagaimanapun perlu mempunyai permit kerja sah serta berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, satu kerjasama diwujudkan bagi menyebarkan maklumat ke arah meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran di negeri ini.

“Media dianggap sayap kanan JBPM yang memainkan peranan memberi pendedahan kepada masyarakat sama ada melalui penulisan atau gambar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:16 AM