KAMALUDDIN (kiri) memeriksa wanita warga asing yang ditahan, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
KAMALUDDIN (kiri) memeriksa wanita warga asing yang ditahan, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


SEBUAH kilang memproses ayam di Chemor diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, hari ini apabila dipercayai menyalahgunakan permit pekerja warga asing.

Dalam serbuan antara 11.30 pagi hingga 3 petang itu, seramai 90 pekerja warga asing berusia 20 hingga 40 tahun ditahan.

Pengarah Imigresen negeri Kamaluddin Ismail berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 150 pekerja di kilang berkenaan sebelum mendapati 90 daripadanya melanggar Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemilik kilang itu dipercayai menggaji pekerja warga asing dalam bidang pertanian untuk melakukan kerja dalam bidang pemprosesan.

Katanya, ketika serbuan kesemua warga asing yang ditahan itu sedang melakukan aktiviti pemprosesan ayam.

“Daripada segi (kadar bayaran) levi, majikan perlu membayar RM1,850 untuk (bidang) pemprosesan manakala RM640 untuk pertanian, jadi di situ sahaja sudah menunjukkan perbezaan ketara.

“Berikutan kadar bayaran itu rendah, jadi majikan meggunakan permit kerja untuk pertanian kerana lebih murah selain dapat menjimatkan kos serta mengaut keuntungan berlebihan.

“Pekerja warga asing itu ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ipoh, hari ini.

Dalam operasi berasingan, Kamaluddin berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah rumah urut di Medan Ipoh Bistari pada 9.30 malam semalam, dan berjaya menahan 22 wanita warga asing serta enam lelaki termasuk dua warga tempatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita syaki premis berkenaan menjalankan kegiatan tidak bermoral iaitu aktiviti pelacuran.

“Kadar bayaran berbeza mengikut perkhidmatan iaitu untuk sekali servis, bayaran dikenakan sebanyak RM150 manakala RM550 sehari pada hari kerja dan RM650 sehari pada hujung minggu,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Perak untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 8:24 PM