AHMAD Faizal (dua kanan) serta Mohd Farid (kanan) ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Pra Pelancaran Promosi ‘Funtasy Raya’  (MAPS) di Pusat Konvensyen Amanjaya, Ipoh, hari ini.  FOTO Balqis Jazimah Zahari.
AHMAD Faizal (dua kanan) serta Mohd Farid (kanan) ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Pra Pelancaran Promosi ‘Funtasy Raya’ (MAPS) di Pusat Konvensyen Amanjaya, Ipoh, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Shaarani Ismail dan Balqis Jazimah Zahari


PENGANJURAN Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Perak di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh akan membantu mempromosikan lagi MAPS dengan lebih berkesan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, penganjuran Majlis Rumah Terbuka itu secara tidak langsung memberikan peluang kepada orang ramai menikmati apa ditawarkan di MAPS secara percuma pada Hari Raya pertama.

“Semua dijemput datang memeriahkan rumah terbuka di MAPS kerana kita mahu beri peluang orang ramai melihat apa yang ditawarkan di MAPS dan merasai sendiri pengalamannya secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Pra Pelancaran Promosi ‘Funtasy Raya’ MAPS di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MAPS, Mohd Farid Abdul Aziz; Pengarah Perundangan dan Komersial MAPS, Mukhriz Che Murat dan Pengarah Sumber Manusia MAPS, Zaidil Zaludin.

Ahmad Faizal sebelum itu turut menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak di lokasi sama.

Sementara itu, Mohd Farid berkata, sempena Aidilfitri kali ini, MAPS dengan kerjasama Petron, PLUS dan Celcom tidak ketinggalan menawarkan harga diskaun luar biasa kepada pengunjung.

Beliau berkata, promosi bertemakan ‘Funtasy Raya’ itu ditawarkan kepada kedua-dua pemegang kad Petron, Pmiles dan PLUSMiles apabila memperoleh harga masuk istimewa iaitu RM45 untuk dewasa dan RM40 bagi kanak-kanak dengan pembelian terhad kepada pengunjung yang membeli secara terus di kaunter masuk MAPS.

Katanya, selain itu, pelanggan Celcom ditawarkan pakej promosi RM250 untuk empat tiket masuk membabitkan dua dewasa dan dua kanak-kanak atau warga emas yang disertakan hadiah pilihan iaitu empat helai kemeja-t atau botol minuman eksklusif MAPS.

“Lebih menarik, Celcom menawarkan kadar penginapan hotel pada harga istimewa berharga RM410 untuk satu malam bagi bilik superior di Hotel Casuarina@Meru yang hanya terletak bersebelahan MAPS.

“Bagi promosi Celcom, tiket boleh didapati secara atas talian di laman sesawang mapsperak.com dan penempahan hotel tertakluk kepada tempoh ditetapkan.

“Semua promosi itu hanya sah bermula dari 16 Jun sehingga 30 September ini,” katanya.

Mohd Farid berkata, pengunjung terutama pemegang kad Petron PLUSMiles dan pelanggan Celcom perlu mengambil peluang ini bagi mendapatkan harga lebih menjimatkan.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Petron, PLUS dan Celcom.

“Ia adalah tawaran terbaik tidak pernah dibuat sebelum ini, jadi ini adalah peluang terbaik untuk semua rakyat Malaysia datang ke MAPS.

“Bagi memeriahkan perayaan di taman tema, pengunjung akan dihiburkan dengan kehadiran barisan artis terkenal negara seperti Datuk Seru Siti Nurhaliza, Khai Bahar, Wany Hasrita, Tajul dan Haqiem Rusli bermula hari pertama Aidilfitri sehingga 24 Jun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 10:34 PM